20 belia Kelantan tamat kursus gunting rambut, terima kit peralatan


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 2 Disember - Sebanyak 20 belia Kelantan berjaya menamatkan Kursus Gunting Rambut Lelaki anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) yang berlangsung selama lima hari bermula 17 hingga 21 Ogos 2025 yang lalu di Pusat Belia Kelantan, Medan Usahawan, Kota Bharu.

Para peserta menerima sijil penyertaan masing-masing sebagai pengiktirafan atas komitmen dan kesungguhan sepanjang latihan.

Lebih bermakna, setiap peserta turut diberikan set kit peralatan gunting rambut lengkap sebagai sokongan awal untuk memulakan kerjaya atau meningkatkan kemahiran dalam bidang gunting rambut.


Majlis penyampaian sijil dan kit peralatan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad, di Bilik Mesyuarat Exco, Kompleks Kota Darulnaim pada Isnin.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah U-BeS, Mohamad Kamal Mohamed.

Sementara itu, U-BeS menyatakan bahawa kursus tersebut memberi pendedahan teknik gunting rambut asas dan profesional, untuk membantu memperkukuhkan lagi peluang ekonomi golongan belia melalui kemahiran yang boleh menjana pendapatan.


“Semoga ilmu yang diperoleh dapat meningkatkan kemahiran peserta, membuka peluang kerjaya baharu serta menyumbang kepada industri dandanan rambut tempatan. Tahniah diucapkan kepada semua peserta,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin

Program itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasakan belia melalui latihan kemahiran yang relevan dan bernilai tinggi dalam pasaran kerja.

Post a Comment

0 Comments