KOTA BHARU:
Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha anak muda Kelantan untuk berdikari bagi
mencari rezeki dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan menggunting rambut.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Hubungan Antara Kaum negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, usaha itu bagi membina masa depan yang lebih kukuh dan berdaya saing.
“Kerajaan negeri juga sentiasa membantu anak muda yang berminat menceburkan diri dalam perniagaan,” katanya pada majlis penyampaian kit gunting rambut serta sijil penyertaan kepada 17 anak muda yang menamatkan kursus kemahiran gunting rambut semalam.
Peserta turut menerima kit gunting rambut bagi memulakan kerjaya dalam bidang tersebut. Mereka mengikuti kursus selama lima diadakan pada 17 hingga 21 Ogos lepas di Pusat Belia negeri.
Zamakhshari berkata, sebahagian besar peserta merupakan anak muda yang sedang mencari sumber pendapatan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Menurutnya semoga usaha kerajaan negeri membolehkan golongan belia mencari rezeki menggunakan kemahiran bagi memulakan perniagaan kecil.
Beliau juga berkata, sijil penyertaan diberi sebagai pengiktirafan kepada mereka telah mengikuti kursus dan memiliki kemahiran teknikal menggunting rambut.
“Peserta hendaklah sentiasa melakukan inovasi dalam setiap perkhidmatan yang ditawarkan bagi menarik lebih ramai pelanggan,” ujarnya.

0 Comments