Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media PEKA
Kredit foto: Unit Media PEKA
KOTA BHARU, 2 Disember – Sebanyak 200 masyarakat pelbagai kaum menerima bantuan di Program Skim Bantuan Armalah Kota Lama, semalam.
Program yang berlangsung di Pusat Komuniti DHPP itu melibatkan penerima daripada komuniti Cina, Siam dan India, merangkumi 200 armalah, tiga pesakit kronik dan dua penerima Skim Kifaalah.
Pengarah Pusat Khidmat DUN Kota Lama Dato’ Sr. Zamri Ismail berkata, bantuan berkenaan menyasarkan keperluan asas di samping menjadi saluran kerajaan untuk mendengar dan menyelesaikan masalah masyarakat setempat.
"Hari ini kita beri bantuan kepada armalah, pesakit kronik dan kifaalah. Jika ada cadangan yang kerajaan boleh buat, boleh beritahu terus. Kita nak bantu supaya masalah dapat diselesaikan,” katanya, semalam.
![]() |
| Pengarah Pusat Khidmat DUN Kota Lama, Dato’ Sr. Zamri Ismail |
Beliau turut mengajak masyarakat di DUN Kota Lama terus memupuk hubungan baik merentasi kaum.
"Kehidupan di Kelantan ini perlu saling bertanya khabar, hidup bersatu padu. Kalau ada apa-apa masalah, kita ada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat DUN Kota Lama dan Pusat Komuniti DHPP untuk membantu,” ujarnya.
Sementara itu, Penyelia DUN Kota Lama Ir. Norsyakiman Muhamad, berkata skim berkenaan amat penting terutama ketika rakyat berhadapan cabaran ekonomi.
"Kerajaan cuba sedaya upaya membantu semua kaum di Kelantan untuk memberi sedikit kelegaan bagi meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penghulu antara kaum yang dilantik berperanan sebagai penghubung bagi memastikan sebarang masalah rakyat dapat dikesan lebih awal.
"Penghulu inilah mata dan telinga kerajaan apabila ada rakyat sakit, ditimpa musibah atau perlukan bantuan,” jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) Lim Guang Seng.



0 Comments