![]() |
| Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah |
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 9 Disember – Agenda Kelantanku Bersih adalah usaha membentuk perubahan sikap, tabiat dan budaya masyarakat ke arah negeri yang lebih berdisiplin, bersih dan sejahtera, demikian menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah dalam ucapan aluannya pada Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2025.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku urus setia penganjuran majlis tersebut.
Menurutnya, majlis sambutan itu sebagai platform untuk meraikan komitmen semua pihak khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Kelantan yang telah memainkan peranan besar dalam menjayakan agenda Kelantanku Bersih 2025.
“Agenda ini adalah kesinambungan hasrat kepimpinan negeri, yang melihat kebersihan bukan hanya urusan fizikal tetapi cerminan nilai, disiplin dan imej negeri Kelantan.
"Agenda perubahan sikap, peel perangai dan tabiat demi membina masyarakat yang berdisiplin,” katanya.
YB Hilmi turut menekankan bahawa usaha kebersihan negeri merangkumi pelbagai aspek bermula dari kebersihan bandar dan kampung, keceriaan taman rekreasi dan lokasi pelancongan, keindahan pasar borong dan tandas awam, lorong kecil, kawasan perumahan sehingga kepada pengurusan sisa pepejal dan kesihatan persekitaran.
Beliau menyifatkan PBT sebagai nukleus dan nadi dalam menjayakan keseluruhan agenda tersebut, dan menegaskan bahawa PBT-PBT di Kelantan kini berjaya mengubah naratif bahawa Kelantan bukan lagi negeri kotor, tetapi negeri yang indah, bersih dan menawan.
Tambahnya, sepanjang tahun ini, pelbagai program telah dilaksanakan termasuk Jelajah Kelantanku Bersih ke PBT, Gotong-Royong Perdana serta Riadhah Sambil Kutip Sampah yang mendapat penyertaan pelbagai peringkat komuniti.
Dalam aspek penguatkuasaan, YB Hilmi berkata mulai tahun 2024, ketegasan telah ditingkatkan melalui pemasangan CCTV bagi merakam perbuatan pembuangan sampah haram.
“Kita rakam, kita kompaun dan kita saman. Kita cari golongan minoriti yang masih ingar ini hingga ke pintu rumah,” tegasnya.
Untuk tahun 2025, sebanyak RM8.51 juta telah disalurkan kepada PBT bagi tujuan kebersihan, keceriaan serta pengurusan sisa pepejal. Manakala Belanjawan Kelantan 2026, kerajaan negeri telah meluluskan RM12 juta bagi meneruskan agenda Kelantanku Bersih dan Persekitaran Lestari.
Turut disampaikan, Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri bagi Pembelian Tong Sampah kepada PBT, melibatkan implikasi kewangan RM1,577,630.00, sebagai tanda sokongan kerajaan negeri dalam memperkukuh mutu pengurusan sisa pepejal di kawasan pentadbiran PBT.



0 Comments