ICESCO Regional Conference 2025 perkukuh pembelajaran bahasa Arab berasaskan AI


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 9 Disember – ICESCO Regional Conference 2025 memberi tumpuan utama terhadap pengukuhan pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan negara bukan penutur jati melalui pendekatan digital dan kecerdasan buatan (AI), selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, berkata persidangan yang berlangsung di Yayasan Islam Kelantan (YIK) dari 8 hingga 11 Disember itu berada di bawah Program ICESCO–Hamdan Rasyid.
Persidangan tersebut memfokuskan pembangunan serta sokongan pengajaran bahasa Arab di negara-negara bukan penutur asli.



Menurutnya, inisiatif tersebut amat signifikan memandangkan bahasa Arab bukan sahaja berperanan sebagai bahasa komunikasi antarabangsa, malah bahasa al-Quran yang menjadi asas ilmu, tamadun dan penyatuan umat Islam.

“Acara ilmiah ini menghimpunkan pemimpin, ahli akademik dan pakar pendidikan dari dalam dan luar negara, khususnya dalam bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab, termasuk penyertaan wakil negara-negara ASEAN,” katanya di media sosial, pada Isnin.

Beliau berkata, persidangan tersebut menjadi platform berprestij yang menggabungkan visi pendidikan, integrasi inovasi digital berasaskan AI serta kerjasama serantau dalam memperkukuh pengajaran bahasa Arab.


“Atur cara persidangan padat dengan syarahan pakar, forum ilmiah dan sesi perkongsian, menjadikannya inisiatif komprehensif ke arah memajukan pendidikan bahasa Arab di Asia Tenggara melalui pendekatan yang lebih kontemporari dan relevan,” katanya.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri, Universiti Islam Selangor Dr. Latifa Bibi Musafar Hameed, Pengarah Yayasan Islam Kelantan Dato’ Zulkiflie Ab Rahman, Ketua Penolong Pengarah, Unit Perhubungan dan Pengantarabangsaan, BPI KPM Muhamad Fauzi Abdul dan Pengarah Pusat Pendidikan ICESCO Malaysia, Universiti Islam Selangor Dr Md Noor Hussin.

Wakil institusi dari negara ASEAN turut memeriahkan persidangan, termasuk Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Brunei), Vietnam National University, Universitas Ahmad Dahlan (Indonesia), Prince Songkhla University (Thailand), Maahad Haji Fikri (Kemboja) dan Mindanao State University (Filipina).


Turut serta sebagai peserta aktif ialah para pendidik bahasa Arab dari pelbagai institusi antaranya guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK), Bahagian Pendidikan Islam (BPI) KPM, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), selain pensyarah dan pelajar daripada UIAM, UMK, UiTM, KIAS serta USIM.

Dato' Wan Roslan berharap penyertaan pelbagai pihak mampu memperkayakan wacana ilmiah serta menghasilkan dapatan bermanfaat dalam usaha memajukan pendidikan Islam dan bahasa Arab di seluruh rantau ini.

Terdahulu, beliau merasmikan persidangan bersempena sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia, yang berlangsung selama empat hari di YIK.

Post a Comment

0 Comments