Komitmen bersama kerajaan, rakyat teruskan agenda Kelantanku Bersih – TMB Kelantan

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 9 Disember – Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2025 merupakan simbol komitmen bersama memastikan negeri Kelantan terus maju, makmur dan bersih, jelas Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan dalam ucapan perasmian beliau di Dewan Tok Guru Bentara Setia, di sini, semalam.

Beliau merakamkan tahniah kepada YB Exco Kerajaan Tempatan, serta semua jabatan dan agensi yang bertungkus lumus sepanjang tahun 2025, menyifatkan sokongan padu dan komitmen tinggi inilah yang menjadi nadi kelangsungan program Kelantanku Bersih sebagai salah satu program flagship Kerajaan Negeri.

"Majlis ini suatu kesungguhan, satu simbol komitmen bersama memastikan negeri Kelantan terus maju, makmur dan bersih,” katanya.


Dato’ Dr Mohamed Fadzli turut menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan, NGO, pihak sekolah, komuniti, persatuan penduduk dan seluruh rakyat Kelantan yang menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup.

"Islam bukan hanya mementingkan kebersihan diri dan jiwa tetapi juga kebersihan rumah, kawasan perumahan, negeri dan negara,” jelasnya.

Menurutnya, program Kelantanku Bersih merupakan identiti baharu negeri Kelantan.


"Kita mahu Kelantan bukan sahaja dikenali kerana sejarah, budaya dan daya tahan rakyatnya, tetapi juga kerana kejayaan pengurusan bandar, kebersihan kemudahan awam dan keindahan kawasan rekreasi,” ujarnya.

Beliau menekankan lima teras utama bagi menjayakan agenda Kelantanku Bersih iaitu kesedaran masyarakat berterusan melibatkan semua lapisan usia, pendidikan awal di sekolah, pengukuhan undang-undang dan penguatkuasaan, perluasan program Waste to Money bagi menjadikan kitar semula sebagai gaya hidup menjana pendapatan, serta kempen kreatif berterusan dengan komunikasi yang dekat dengan rakyat.

Post a Comment

0 Comments