Anak boleh dirotan, namun jangan sampai mencederakan - Exco Agama


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 22 Disember – Kaedah mendidik anak-anak dibenarkan menggunakan rotan sebagai bentuk pengajaran, namun sama sekali tidak boleh mencederakan atau melibatkan pukulan di bahagian muka, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Mohd Asri Mat Daud.

Katanya, rotan dalam pendidikan bukan semata-mata bermaksud pukulan fizikal, sebaliknya boleh diterjemahkan dalam bentuk denda yang mendidik sebagai “pukulan kepada hati dan perasaan” anak-anak agar mereka memahami kesalahan dan membina disiplin diri.

“Didikan mesti berlandaskan kasih sayang. Rotan hanya untuk pengajaran, bukan untuk mencederakan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya pada Ahad.

Katanya lagi, pembelajaran al-Quran kepada anak-anak hendaklah diberi keutamaan agar mereka dapat membaca surah-surah pilihan dengan baik serta menghafaznya.

“Apabila al-Quran dijadikan keutamaan, insya-Allah akhlak terpuji akan terbina dalam diri anak-anak dan mereka akan lebih bersemangat serta gemar menuntut ilmu,” katanya.


Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Prestasi PASTI al-Hidayah Wakaf Stan serta PASTI al-Ikhwan, Kenali.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada pengerusi, pentadbiran serta guru-guru PASTI atas komitmen mendidik anak-anak dengan cemerlang.

Post a Comment

0 Comments