Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 2 Disember - Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) terus memperkukuh agenda pembangunan akuakultur negeri apabila projek ternakan udang putih di pesisir pantai Geting, Tumpat kini memasuki fasa operasi komersial.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata projek berimpak tinggi itu bermula pada September 2025 dengan kemasukan anak benih pertama sebanyak 300,000 ekor benih udang putih, yang dijangka menghasilkan kira-kira tiga tan hasil.
"Anak benih kali kedua pula dimasukkan pada November 2025 dengan jumlah 400,000 ekor, dan dijangka dituai pada Januari 2026 dengan sasaran empat tan," katanya menerusi di media sosial, pada Isnin.
Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin bersama Ketua Jajahan Tumpat Mohamad Nazwan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PKPNK Nik Razak Nik Hassan mengadakan lawatan ke tapak projek di pesisir Pantai Geting Tumpat.
Menurutnya, lawatan ke tapak projek seluas tiga ekar tersebut menjadi ruang untuk pihak yang berkaitan berbincang mengenai langkah pengembangan projek agar mampu menjadi pemacu ekonomi baharu berasaskan akuakultur di Tumpat dan seterusnya mengangkat industri udang putih sebagai salah satu sumber pendapatan strategik negeri.
"Lawatan tersebut turut menjadi platform perbincangan antara agensi berkaitan dan rakan strategik mengenai langkah pengembangan projek, termasuk aspek teknologi, pemasaran dan sebagainya agar projek berasaskan akuakultur menjadi pemacu ekonomi baharu di Tumpat, " jelasnya.
Tambahnya, kejayaan awal projek tersebut membuka potensi besar untuk dikembangkan pada skala lebih luas, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan industri udang putih sebagai salah satu sumber pendapatan strategik negeri.
Usaha pengkomersialan berkenaan dilihat mampu memacu pertumbuhan ekonomi baharu di Tumpat dan berupaya meningkatkan daya saing sektor akuakultur Kelantan.




0 Comments