KOTA BHARU: Hasrat menteri kerajaan madani mahu menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat disifatkan sebagai terdesak.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyifatkan cadangan itu sebagai tindakan bermotif politik dan tidak wajar dilaksanakan.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya meneliti semula usul berkenaan kerana perkara itu tidak lagi relevan selepas menteri sebelum ini menyifatkan isu yang dibangkitkan sudah selesai.
“Kita nak dengar dulu usul itu macam mana. Yang kedua, kita akan tentang usul untuk menggantung, sebab bagi kita dengan apa yang berlaku sebelum ini tak kena dengan cadangan dia nak gantung sampai enam bulan,” katanya selepas Majlis Perasmian Bangunan PASTI dan Anugerah Prestasi PASTI Al-Arshadi Panchor, di sini hari ini.
Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas pembangkang membantah usul dibawa menteri bagi menggantung Takiyuddin selama enam bulan susulan dakwaan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Masjid Rusila Marang sebelum ini tanpa memaklum kepada pihak pengurusan masjid.
Berdasar rakaman kamera litar tertutup masjid dilaporkan ada individu berkelakuan agak mencurigakan memasuki ruang wanita di masjid tersebut dalam keadaan terburu-buru.
Sebelum itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah membawa usul bagi menggantungkan Ahli Parlimen Kota Bharu, namun dibantah pembangkang kerana menyifatkan tindakan tersebut tidak mengikut peraturan mesyuarat.
Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menangguhkan usul tersebut pada sidang akan datang.
Mohd Amar berkata, tindakan penggantungan itu juga tidak perlu kerana Takiyuddin telah pun membuat penjelasan.
“Tak perlu laksana (gantung) sebab saya difahamkan Ahli Parlimen kita pun sudah membuat pembetulan. Jadi bagi saya usul nak gantung sehingga enam bulan tidak perlu,” katanya.
Menurutnya juga sekiranya penggantungan tetap diluluskan Dewan Rakyat, masih terdapat ruang untuk Takiyuddin mengemukakan rayuan.
Pada tahun lepas Speaker Dewan Rakyat menggantungkan ahli parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal selama enam tanpa diberi ruang membela diri.

0 Comments