Pengusaha kerepek perlu kuasai teknologi pemprosesan

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Oleh: Asri Hamat

PASIR PUTEH, 8 Disember - Pendekatan teknologi tinggi dalam pemprosesan kerepek kini menjadi keperluan mendesak bagi memastikan pengusaha tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran semakin mencabar, tegas Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurutnya, keperluan tersebut menjadikan penganjuran Bengkel Agri Bio Class (ABC) Siri 2: Teknologi Pemprosesan Kerepek sebagai usaha yang tepat pada waktunya, selari dengan fokus kerajaan negeri memperkukuh kapasiti pengusaha makanan berasaskan kerepek yang dikenal pasti berpotensi tinggi untuk dikembangkan.

Beliau memaklumkan bahawa, pendedahan terhadap penggunaan bahan tambahan makanan (aditif) yang betul dan selamat, selain latihan amali teknologi pemprosesan moden, merupakan komponen kritikal dalam memastikan produk memenuhi standard kualiti serta keselamatan makanan.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan nilai kualiti produk, malah memperkukuh daya saing dalam pasaran tempatan dan luar negara. Usaha sebegini juga seiring aspirasi negeri melalui slogan ‘Bertani Satu Ibadah’ serta agenda Membangun Bersama Islam,” katanya ketika merasmikan bengkel di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pasir Puteh, hari ini.


Beliau berkata program berkenaan dijangka memberi beberapa impak positif, termasuk melahirkan lebih ramai usahawan berpengetahuan dalam aspek keselamatan makanan, teknik pemprosesan moden dan amalan pengurusan kualiti.

Di samping itu, peningkatan tahap produktiviti dan konsistensi kualiti produk diyakini mampu membuka laluan penembusan ke pasaran yang lebih luas, termasuk platform runcit arus perdana dan e-dagang, sekali gus memberi nilai tambah ekonomi kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin turut mengakui wujud beberapa kekangan yang masih membelenggu industri, antaranya penggunaan aditif secara tidak terkawal, teknik pemprosesan tradisional yang tidak menjamin kualiti seragam serta kelemahan aspek pembungkusan dan penjenamaan.

“Justeru, bengkel seperti ini amat penting bagi membantu pengusaha memahami standard industri dan mempersiapkan mereka untuk pasaran yang lebih mencabar,” katanya.

Beliau berharap peserta memanfaatkan sepenuhnya ilmu serta kemahiran yang dipelajari, sambil mengaplikasikan tunjuk ajar fasilitator demi meningkatkan mutu dan kebolehpasaran produk masing-masing.

Tambahnya, kerajaan negeri kekal komited menyokong pembangunan industri agromakanan melalui latihan, penyelidikan dan bantuan teknologi secara berterusan.

Sebanyak 19 peserta dari pelbagai kawasan menghadiri bengkel tersebut. Mereka turut disaran mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan mesin dan peralatan daripada kerajaan negeri.

Post a Comment

0 Comments