Jalan Lojing–Gua Musang ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: FB YB Dato' Dr Izani

GUA MUSANG, 3 Disember – Laluan FT185 Jalan Lojing–Gua Musang di Seksyen 107.60, Pos Blau ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula hari ini sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian ekoran berlaku kejadian tanah runtuh.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan YB Dato’ Dr Izani Hussin mengesahkan tindakan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) telah digerakkan bagi memastikan keselamatan pengguna.

Beliau berkata Pejabat JKR Gua Musang telah memaklumkan kejadian itu kepada JKR Malaysia dan penutupan laluan dilakukan serta-merta bagi mengelakkan risiko lanjut kepada orang ramai.


“JKR sedang menjalankan pemantauan rapi di lokasi runtuhan dan proses permohonan peruntukan untuk kerja pembaikan sedang diuruskan,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Penutupan kedua-dua arah itu dijangka berterusan sehingga kawasan berkenaan benar-benar selamat untuk dilalui.

Sehubungan itu, Dato' Dr. Izani menasihatkan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif iaitu Gua Musang–Sungai Koyan–Ringlet–Cameron Highlands atau Gua Musang–Sungai Koyan–Ringlet–Tapah–Ipoh sehingga kerja pemulihan selesai.



Post a Comment

0 Comments