Semua PPS ditutup sepenuhnya, terima kasih pihak terlibat - MB Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 3 Disember - Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan telah ditutup sepenuhnya pada pukul 4 petang Selasa, berikutan keadaan banjir di negeri ini menunjukkan perkembangan positif.

Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, penutupan keseluruhan PPS itu merupakan satu kelegaan besar kepada ribuan penduduk yang terjejas di negeri ini selepas beberapa hari berdepan situasi banjir yang memaksa mereka berpindah.

“Alhamdulillah, lafaz syukur kepada Allah SWT kerana semua PPS di Kelantan telah ditutup pada pukul 4 petang tadi,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat yang bertungkus-lumus memastikan operasi pemindahan, keselamatan dan bantuan kepada mangsa banjir berjalan lancar.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua-ketua Jajahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerjaraya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, para penghulu, Majlis Tindakan DUN (MTD) serta semua agensi dan jabatan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang operasi banjir,” katanya.

Tambahnya, kerjasama erat antara semua pihak memudahkan urusan menangani bencana tersebut dan memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Terima kasih buat semua,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments