Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 15 Disember - Ibu bapa diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap pendedahan anak-anak kepada permainan video berunsur keganasan kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap akhlak dan perkembangan pemikiran mereka.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, permainan seperti PUBG, GTV dan ManHunt didakwa melalaikan kanak-kanak serta menghakis nilai murni sekiranya dibiarkan tanpa kawalan.
"Jika ibu bapa membiarkan, malah memuat turun permainan ini untuk anak-anak sehingga mereka leka bermain, ia boleh merosakkan akal dan akhlak mereka. Inilah yang diingatkan oleh Nabi SAW tentang ibu bapa yang mencorakkan pegangan dan perilaku anak-anak,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Beliau turut mendakwa permainan berunsur keganasan itu merupakan sebahagian daripada agenda musuh Islam seperti Yahudi untuk melemahkan generasi muda agar menjadi lalai dan berperilaku negatif.
“Alat sebegini dicipta untuk melemahkan umat Islam, menjadikan anak-anak leka dan akhirnya rosak akhlak,” katanya.
Terdahulu, YB Mohd Asri merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI al-Hikmah, kampung Chepa, Kota Bharu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan PASTI al-Hikmah Chepa, para guru dan ibu bapa atas komitmen mendidik anak-anak dengan pendekatan berteraskan ilmu dan akhlak.
Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian anugerah kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik dan sahsiah sepanjang tahun persekolahan.



0 Comments