Pendedahan STI, STEM kepada pelajar YIK positif – YB Kamaruzaman

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Kamaruzaman Mohamad (tengah)

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 15 Disember – Pendedahan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) berada pada tahap yang baik dan menunjukkan hasil yang positif.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan YB Kamaruzaman Mohamad berkata, ketika ini terdapat 93 buah sekolah YIK di seluruh negeri yang secara konsisten didedahkan dengan program inovasi dan pembudayaan sains serta teknologi.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menganjurkan karnival inovasi di peringkat sekolah YIK setiap tahun sebagai platform untuk mengasah kreativiti dan kemahiran pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

“Bukan sekadar penyertaan dalaman, kita juga menjemput peserta dari selatan Thailand untuk berkongsi idea dan menunjukkan kreativiti mereka, sekali gus memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas Karnival STI Madani 2025, semalam.


Beliau berkata, kejayaan empat buah sekolah YIK memenangi pingat emas, perak dan gangsa dalam karnival inovasi peringkat kebangsaan yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baru-baru ini membuktikan keberkesanan pendedahan STI dan STEM yang diterapkan.

“Ini menunjukkan pendedahan STI dan STEM di peringkat sekolah YIK agak baik dan akan terus dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” ujarnya.

Dalam pada itu, YB Kamaruzaman memaklumkan bahawa sekolah YIK turut melaksanakan program tahfiz sains, di mana pelajar mengikuti aliran sains tulen, pendidikan agama serta menghafaz al-Quran secara serentak.

Selain itu, kerajaan negeri turut menubuhkan Maahad Sains Tok Guru sebagai sekolah khusus bagi pemerkasaan sains, menempatkan pelajar terbaik daripada seluruh sekolah YIK yang menunjukkan minat dan kecemerlangan dalam bidang sains.

Beliau menegaskan bahawa usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkukuhkan bidang sains dan teknologi sebagai teras penting pembangunan pendidikan negeri.

"Di peringkat Jawatankuasa Pendidikan, kita sudah berbincang secara khusus macam mana nak perkasakan sains dan teknologi dalam kalangan pelajar" jelasnya.

Post a Comment

0 Comments