Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 14 Disember – Kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kerajaan Negeri Kelantan terus diperkukuh bagi melahirkan generasi celik digital serta berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi masa hadapan berteraskan teknologi.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan YB Kamaruzaman Mohamad berkata, kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MOSTI atas kepercayaan melantik Kelantan ICT Gateway sebagai rakan pelaksana Karnival Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Madani 2025.
“Kerajaan Negeri amat berbangga dan berterima kasih atas usaha berterusan MOSTI dalam memperkukuhkan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di negeri ini,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan di Ruang Legar Pusat Transformasi Bandar (UTC), hari ini.
![]() |
| Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Kamaruzaman Mohamad |
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa MOSTI sentiasa komited menjalinkan kerjasama bersama kerajaan negeri bagi menjayakan usaha pembudayaan sains, teknologi dan inovasi serta pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ke arah persediaan negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Tambahnya, dunia kini berada dalam era perubahan pesat melibatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), robotik, dron dan blockchain yang membentuk masa depan pekerjaan serta ekonomi digital.
“Negeri Kelantan tidak seharusnya ketinggalan dalam melahirkan bakat dan pakar dalam bidang STI. Pembudayaan yang bermula di peringkat sekolah sehingga ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) amat penting bagi membekalkan ilmu dan kemahiran berguna kepada generasi muda,” ujarnya.
Pada penganjuran kali ini, karnival tersebut melibatkan 12 Parlimen di seluruh Kelantan, dengan peringkat pertama di UTC Kelantan membabitkan tujuh Parlimen iaitu Kota Bharu, Ketereh, Pasir Mas, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Tumpat dan Rantau Panjang.
Karnival yang berlangsung selama dua hari itu telah merekodkan penyertaan hampir 2,000 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar IPT serta orang awam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan beberapa sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) memberi fokus kepada bidang sains, antaranya Maahad Sains Tok Guru yang menggunakan medium bahasa Arab dan bahasa Inggeris bagi melahirkan pelajar berkemahiran tinggi serta berpengetahuan luas dalam bidang sains.
“Program sebegini amat baik untuk memberi pendedahan kepada pelajar, khususnya pelajar YIK, agar dapat memahami sains dengan lebih mendalam,” katanya.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti interaktif dan berunsur pendidikan disediakan kepada pengunjung antaranya pameran STEM, Kuiz STI, aktiviti 3D Pen Art, bengkel kecerdasan buatan (AI) dan digital video, bengkel model 3D serta penghasilan prototaip, selain persembahan sains (science show).
Majlis perasmian karnival itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Setiausaha Pembudayaan dan Perkhidmatan STI Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Abdullah Daud, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PP) Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Ir Hamzah Abdul Rahman serta Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sendirian Berhad Mohd Roslan Mohd Zain.
Pada kesempatan itu, YB Kamaruzaman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri, Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha dan Setiausaha Bahagian MOSTI atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama dalam menjayakan karnival berkenaan.
Penghargaan turut diberikan kepada rakan kerjasama termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Pusat Sains Kuala Terengganu, Politeknik Kota Bharu, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Kelantan, Yayasan Islam Kelantan, Jabatan Pendidikan Negeri, Affin Bank dan ODA Malaysia.





0 Comments