Kebajikan, keperluan komuniti India terjamin

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 8 Disember — Kerajaan Negeri Kelantan terus menunjukkan komitmen kukuh dalam memastikan kebajikan dan keperluan masyarakat India di negeri ini sentiasa terjamin melalui pelbagai bentuk bantuan dan sokongan berterusan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan komuniti India meskipun mereka merupakan kaum minoriti di negeri ini iaitu sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan penduduk Kelantan, iaitu dianggarkan antara 5,000 hingga 6,000 orang.

Menurutnya, sepanjang tahun 2025, pelbagai jenis bantuan telah disalurkan samada melalui kuil, persatuan komuniti, serta Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (PKD) sebagai bukti sokongan kerajaan negeri terhadap usaha memperkukuh komuniti India.


Antara bantuan tersebut termasuklah sokongan kepada rumah ibadat dan infrastruktur komuniti, seperti membaik pulih dewan serbaguna di Kuil Arulmigo Sri Mariaman, pembinaan pagar tanah perkuburan India, serta kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur di kawasan Kerla dan Kuala Krai.

“Ini merupakan keperluan asas masyarakat dan kerajaan negeri amat menghormati usaha komuniti India dalam menjaga rumah ibadat serta pusat aktiviti sosial mereka,” katanya ketika berucap di majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat (Masyarakat India) peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Kelantan Trade Center (KTC) pada Jumaat.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyumbang kepada pelaksanaan program kebajikan masyarakat India di peringkat negeri serta sambutan Deepavali yang dianjurkan di beberapa DUN seperti Mengkebang, Guchil dan Gual Ipoh.

Dalam masa sama, bantuan peralatan seperti pembelian meja dan kelengkapan lain untuk kegunaan kuil turut disalurkan bagi melancarkan aktiviti komuniti.


YB Zamakhshari berkata, walaupun sumbangan tersebut mungkin dilihat kecil, namun ia mampu memberi impak besar terhadap fungsi rumah ibadat dan program masyarakat.

Di peringkat akar umbi ujarnya, bantuan turut diberikan melalui Pusat Khidmat DUN (PKD) seperti di Galas, yang menyalurkan peruntukan bagi pembelian barang keperluan di Kuil Sri Muniandi, Gua Musang.

“Ini membuktikan kerajaan negeri tidak hanya memberi tumpuan kepada kawasan bandar, tetapi turut menyantuni komuniti India di seluruh kawasan,” katanya.

Tambahnya, segala inisiatif berkenaan membawa mesej jelas bahawa kerajaan negeri komited membina sebuah negeri yang inklusif, harmoni dan saling menghormati antara semua kaum.

Dalam pada itu, YB Zamakhshari turut menegaskan keperluan meningkatkan penglibatan belia India dalam program yang dianjurkan kerajaan negeri.

“Setakat ini, saya perhatikan penglibatan anak muda India dalam program belia masih kurang. Selepas ini, kita akan susun lebih banyak program pembangunan kemahiran, aktiviti sukarelawan dan inisiatif lain khas untuk belia India,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan aktif belia komuniti tersebut dan menegaskan bahawa suara serta keperluan masyarakat India sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Post a Comment

0 Comments