TM ringankan beban 100 asnaf Kemahang


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 8 Disember – Program sumbangan zakat Telekom Malaysia (TM) melalui Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) meringankan beban 100 ibu bapa asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang bagi persediaan membeli pakaian sekolah bagi sesi persekolahan 2026.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu dilaksanakan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan, khususnya ketika musim hujan yang sering menjejaskan pendapatan penduduk yang bergantung kepada kerja harian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman merakamkan penghargaan kepada TM kerana memilih DUN Kemahang sebagai antara lokasi penerima manfaat.


Menurut beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, bantuan tersebut sangat bermakna buat para ibu bapa yang sedang membuat persiapan anak-anak menghadapi sesi persekolahan akan datang.

“Sumbangan zakat ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada keluarga yang terlibat, malah menjadi bukti bahawa pihak korporat juga memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial setempat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Ahad.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran wakil TM ke kawasan berkenaan, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan syarikat itu dalam menyantuni masyarakat.


YB Dato' Md Anizam berharap bantuan yang diterima dimanfaatkan sepenuhnya oleh para ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak bagi sesi 2026.

“Semoga sumbangan ini menjadi pemangkin kepada permulaan persekolahan yang lebih teratur dan ceria untuk anak-anak kita,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments