Kejohanan Boling Piala Exco Sukan platform pembangunan atlet muda Kelantan


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 15 Disember - Kejohanan Ten Pin Bowling Piala Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan yang julung kali dianjurkan di negeri ini menjadi platform penting dalam pembangunan sukan boling, khususnya bagi belia bawah 20 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, penganjuran kejohanan berkenaan membuka ruang pertandingan berperingkat kepada belia, penjawat awam serta peserta kategori terbuka.

Menurutnya, kejohanan itu memberi peluang kepada pemain tempatan merasai suasana pertandingan sebenar, selain dinilai secara kompetitif serta membina disiplin sebagai seorang atlet.

“Penyertaan kategori trio jabatan pula menjadi medium memperkukuh kerjasama antara agensi di samping memupuk gaya hidup aktif dalam kalangan penjawat awam.

“Pada masa sama, kategori terbuka membantu mengangkat standard permainan dan menjadi penanda aras kepada bakat muda yang sedang dibentuk,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.


Tambahnya, penganjuran kali pertama kejohanan tersebut merupakan langkah awal ke arah pembinaan ekosistem sukan boling yang lebih tersusun di Kelantan.

“Insya Allah, usaha ini akan diteruskan dan diperkasakan agar lebih ramai bakat baharu dapat diketengahkan dan sukan ini terus berkembang secara konsisten di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, YB Zamakhshari menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Ten Pin Bowling Piala Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan yang berlangsung di Lite SuperBowl JB 7 Mydin Tunjong, pada Sabtu.



Post a Comment

0 Comments