STI perlu disepadukan dalam kurikulum pendidikan negara - Dato’ Siti Zailah

Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 15 Disember – Pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) tidak seharusnya terhad kepada pembelajaran secara informal semata-mata, sebaliknya perlu disepadukan secara menyeluruh dalam kurikulum sistem pendidikan negara bagi memupuk minat dan kemahiran teknologi sejak peringkat awal.

Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, penganjuran program STI oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan wajar diperkasakan, khususnya di negeri-negeri yang masih dalam fasa meningkatkan minat serta kemahiran dalam bidang tersebut.

“Saya mengucapkan tahniah kepada MOSTI atas penganjuran program STI ini dan mencadangkan agar peruntukan ditambah, terutama di negeri-negeri yang baharu membina ekosistem dan bakat STI,” katanya dalam sidang media selepas Karnival STI Madani 2025, semalam.

Menurutnya, penyelarasan antara MOSTI, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu dibuat bagi memastikan pembangunan STI tidak bergerak secara berasingan daripada sistem pendidikan arus perdana.

Katanya, ketika ini kebanyakan program STI dilaksanakan di luar subjek kurikulum dan berbentuk pembelajaran tidak formal, sedangkan bagi melahirkan minat jangka panjang, elemen STI perlu dimasukkan secara rasmi dalam kandungan pembelajaran sekolah.

Mengulas lanjut, YB Dato’ Siti Zailah turut menggesa KPM mengambil inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MOSTI dan menggabungkannya dalam sistem pendidikan sedia ada bagi mengelakkan pertindihan fungsi antara kementerian.

“Penyelarasan antara kementerian perlu dibuat supaya bajet negara dapat dijimatkan dan impaknya lebih berkesan,” ujarnya.

Beliau turut menyokong kenyataan bahawa 70 peratus pekerjaan masa kini memerlukan kemahiran teknologi, justeru Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa hadapan.

“Program berasaskan teknologi perlu diperkasakan dalam negara bagi mengelakkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar dan memastikan rakyat tempatan benar-benar bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital,” katanya.

Post a Comment

0 Comments