Kelantan sasar komuniti peka kitar semula menjelang 2027

Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM), Dr Mohd Roshdi Hassan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 8 Disember - Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan sasaran melahirkan komuniti lestari dan berdisiplin dalam amalan kitar semula menjelang tahun 2027, menerusi pelaksanaan Program Komuniti Amalan Hijau (PKAH) yang diperluas ke seluruh sekolah dan komuniti di negeri ini.

Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) Dr Mohd Roshdi Hassan berkata pihaknya memperuntukkan RM24,000 setahun sebagai insentif bulanan sebagai galakan kepada pelajar sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mempraktikkan amalan kitar semula secara konsisten.

Menurutnya, PKAH telah mula dilaksanakan sejak era Exco Alam Sekitar dan Teknologi Hijau bermula tahun 2022.

“PKAH bermula pada zaman YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin yang pegang dua portfolio iaitu Exco Alam Sekitar dan Teknologi Hijau. Sekarang era strategi PMBI di bawah Dato’ Panglima Perang, portfolio tersebut dibahagia dua – Alam Sekitar di bawah YB Hilmi dan Teknologi Hijau di bawah YB Dato’ Wan Roslan,” jelasnya.

Mengulas struktur pelaksanaan semasa, beliau menjelaskan bahawa dari segi pelaksanaan, sekarang ini program tersebut di bawah portfolio YB Hilmi sementara dari segi dasar dan perancangan pula di bawah portfolio Dato’ Wan Roslan.

“Jadi, bila kita laksanakan PKAH, dana disalurkan oleh portfolio Alam Sekitar kerana aktiviti utama sekarang adalah program kitar semula. Tapi pembinaan e-PKAH atau untuk merangka Pelan Perlaksaaan Pembangunan Mampan yang baharu, di bawah dasar portfolio Teknologi Hijau.”

Jelasnya lagi, kesinambungan dua portfolio tersebut tidak menyebabkan perubahan dasar untuk PKAH, bahkan mencipta ruang inovasi baharu untuk membentuk komuniti amalan hijau sejak kecil kerana ia merupakan elemen pendidikan.

“Kedua-duanya saling berkait yang tidak melibatkan apa-apa perubahan tetapi mencipta inovasi yang menjadi satu komuniti amalan hijau daripada generasi yang mengamalkan gaya hidup lestari bermula dari bangku sekolah rendah.”

Beliau juga memaklumkan bahawa Kelantan akan melancarkan Komuniti Amalan Hijau pada tahun 2027 sebagai penanda aras baharu ke arah negeri berbudaya lestari.

“Kita nak wujudkan generasi yang kasih kepada alam sekitar. Termasuk juga syarikat swasta wajar laksanakan ESG (Environment Social Governance). Kita sasarkan masyarakat yang ada kesedaran dan malu untuk membuang sampah merata-rata. Dimasa hadapan akan mohon kerjasama dari ketua komuniti dan para penghulu untuk menyampaikan kempen ini kepada komuniti,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2025 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kota Darulnaim, hari ini.


Mengulas perkembangan di peringkat sekolah, Dr Roshdi memberitahu bahawa tahap kesedaran pelajar menunjukkan peningkatan ketara, khususnya melalui program pertandingan kitar semula yang dijalankan secara bulanan.

“Pada setiap bulan, ada lima buah sekolah rendah dan lima buah sekolah menengah dipilih untuk diberikan anugerah sebanyak RM200. RM2,000 sebulan diperuntukkan kepada 10 buah sekolah yang berjaya mengitar semula bahan terpakai.”

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah penerima insentif akan ditambah pada tahun hadapan.

“Tahun depan, insya-Allah kita akan naikkan sehingga 15 penerima hadiah termasuk komuniti.”

Pada majlis tersebut, enam buah sekolah yang komited serta dua NGO yang melaksanakan aktiviti kitar semula dipilih sebagai penerima Anugerah PKAH 2025 berupa wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

“Hadiah ini sebagai insentif dan galakan untuk mereka membudayakan gaya hidup lestari selama-lamanya. Kita asuh dari usia rebung agar dewasa nanti mereka sudah sebati dan peka terhadap kebersihan, kitar semula dan amalan kelestarian,” katanya.

Post a Comment

0 Comments