Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Salor
Kredit foto: Media YB Salor
KUBANG KERIAN, 8 Disember – Sebanyak sepuluh armalah di DUN Salor yang menjalankan kegiatan keusahawanan berskala kecil menerima manfaat melalui Bantuan Sosio-Ekonomi Armalah Kerajaan Negeri Kelantan Peringkat DUN Salor 2025.
Sumbangan tersebut merupakan inisiatif Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan (U-KeKWA) bagi memperkasakan golongan armalah dalam meningkatkan ekonomi keluarga.
Bantuan yang disampaikan merangkumi pelbagai peralatan keusahawanan termasuk oven industri, pengadun, peti sejuk beku, barangan katering, serta mesin jahit lurus, bertujuan membolehkan penerima memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Program penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Saizol Ismail di Pusat Khidmat DUN Salor, pada Sabtu.
Beliau menekankan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas agenda kebajikan dan pemerkasaan ekonomi rakyat.
"Pelbagai inisiatif dan bantuan diperkenalkan oleh kerajaan negeri dengan tujuan untuk membantu rakyat yang memerlukan dalam mengembangkan sayap perniagaan dan meningkatkan peluang ekonomi mereka.” katanya di laman rasmi, semalam.
Beliau turut menyatakan rasa syukur kerana dapat menyalurkan bantuan kepada penerima yang layak.
"Alhamdulillah, saya telah menyampaikan Bantuan Sosio-Ekonomi Armalah Kerajaan Negeri Kelantan Peringkat Dun Salor 2025.
"Walaupun tidak mampu membantu semua orang, usaha tetap diteruskan untuk memberikan bantuan kepada yang memerlukan. Insya-Allah, bantuan ini akan sampai kepada lebih ramai orang pada masa akan datang.” ujarnya.
Tambahnya, Inisiatif itu diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi keluarga, sekaligus membantu memperkukuh kesejahteraan masyarakat setempat.



0 Comments