Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Hubungan
MCA dengan PAS sebenarnya sudah lama terjalin secara tidak rasmi, kata
Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.
Katanya, kerjasama antara PAS dan MCA bukan perkara baharu kerana ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara sebelum ini, menteri dan pegawai PAS turut berkhidmat bersama MCA dalam kerajaan.
“Apa pun kita perlu dengar penjelasan mereka dahulu. Mana-mana parti yang berhasrat menyertai gabungan tidak wajar meletakkan syarat tetapi mungkin MCA ada justifikasi sendiri.
“Malah di Parlimen baru-baru ini, saya dan Datuk Seri Hamzah sering berjumpa dengan pimpinan MCA,” katanya di sini semalam.
Ahad lepas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membayangkan MCA menolak kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana turut dinaungi PAS.
Menurutnya masyarakat Cina sukar menerima ideologi parti tersebut memandangkan segelintir pemimpin PAS sering mengeluarkan kenyataan kontroversi.
Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata, kenyataan MCA dilihat lebih kepada kebimbangan dalaman parti tersebut.
Menurutnya juga MIC telah menghantar surat permohonan rasmi kepada PN untuk ‘diterima semula’ sebagai parti komponen gabungan itu.
Kata beliau MIC merupakan salah satu pengasas PN ketika pendaftarannya bersama PAS dan Bersatu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi pula berkata, tanggapan masyarakat Cina tidak mempunyai pandangan positif terhadap PAS dianggap sekadar generalisasi yang tidak tepat.
Undi Cina
Katanya pada pilihan raya umum (PRU) 1999 berlaku peningkatan undi masyarakat Cina terhadap Barisan Alternatif yang dianggotai PAS, PKR dan DAP, terutamanya di kawasan bandar.
Malah, penubuhan Kelab Penyokong PAS pada 2004, yang kemudian dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pada 2009 membuktikan PAS mendapat sokongan bukan Islam.
“Berdasar analisis pilihan raya negeri (PRN) 2023 menunjukkan undi bukan Melayu kepada Perikatan Nasional meningkat antara 8 hingga 14 peratus.
“Naratif masyarakat Cina menolak PAS tidak menggambarkan realiti semasa, terutama ketika isu kos sara hidup dan integriti menjadi keutamaan pengundi,” ujarnya.
Firdaus juga berkata, MCA gagal memahami asas perjuangan PAS yang berteraskan dakwah, kebajikan dan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Dalam konteks Islam pemerintahan bertujuan menjamin keselamatan rakyat, menjaga hak minoriti, mencegah rasuah dan menegakkan keadilan.
“Prinsip ini terbukti sejak Piagam Madinah, pemerintahan Andalusia hingga era Umar Abdul Aziz. PAS membawa semangat yang sama di Malaysia,” ujarnya.



0 Comments