Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 28 Disember - Tanggapan bahawa masalah ketagihan dadah hanya berlaku dalam kalangan golongan miskin disifatkan sebagai tidak tepat kerana hakikatnya individu berstatus ekonomi tinggi juga tidak terkecuali daripada terjebak dengan gejala itu.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad berkata, sejak sekian lama masyarakat sering dimomokkan dengan naratif bahawa kemiskinan menjadi punca utama seseorang terlibat dengan dadah.
“Naratif itu berulang lama, sampai kita hampir percaya ia satu-satunya sebab. Hakikatnya lebih rumit,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, Sabtu lalu.
Menurut beliau, terdapat pelbagai faktor lain yang mendorong seseorang terjerumus dalam ketagihan dadah, antaranya tekanan hidup, kesunyian, pengaruh persekitaran serta rasa ingin mencuba yang akhirnya membawa kepada ketagihan.
“Ada yang terjebak kerana tekanan hidup. Ada yang kerana kesunyian. Ada yang kerana persekitaran. Ada juga yang bermula dengan rasa ingin mencuba, kemudian terperangkap,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa status ekonomi bukanlah benteng mutlak untuk mengelakkan seseorang daripada terlibat dengan dadah.
“Duit boleh membuka akses, tetapi tidak menjamin kekuatan jiwa,” ujarnya.
Jelas Zamakhshari, masalah dadah sebenarnya lebih berkait rapat dengan krisis makna hidup dan kawalan diri, bukannya semata-mata soal kemiskinan atau kesempitan hidup.
“Bila jiwa rapuh, siapa pun boleh rebah,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama Timbalan Pengerusi Pengasih Kelantan, Azhar Abdul Rahman, mengadakan perbincangan berkaitan isu penyalahgunaan dadah dan usaha pemulihan penagih.
Katanya, Azhar merupakan antara individu yang aktif terlibat di lapangan dalam membantu mereka yang ingin berubah dan keluar daripada belenggu ketagihan.
“Apabila duduk berbincang dengan beliau, banyak input baharu yang diperoleh kerana beliau sememangnya orang yang berada di lapangan,” katanya.

0 Comments