Khatan Perdana DUN Tanjong Mas himpunkan 130 peserta, kehadiran cecah 500 orang


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 28 Disember – Program Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas tahun ini meriah dengan penyertaan seramai 130 kanak-kanak, sekali gus menghimpunkan kira-kira 500 orang termasuk ibu bapa dan ahli keluarga, bertempat di Maahad Pengajian Islam (MPI), Kota Bharu, pada Khamis.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Mas YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, sambutan luar biasa itu jelas mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap program kemasyarakatan yang berteraskan kebajikan dan tradisi.

“Alhamdulillah, Khatan Perdana DUN Tanjong Mas tahun ini lebih meriah. Seramai 130 anak-anak menyertai program khatan kali ini, manakala perarakan yang diadakan bersama ibu bapa dan anak-anak menjadikan jumlah kehadiran mencecah kira-kira 500 orang,” di laman media sosial rasminya pada Jumaat.


Menurutnya, program berkenaan dimulakan dengan acara suapan pulut kuning sebagai simbol adat Melayu yang sarat dengan nilai budaya dan doa.

“Tradisi ini masih dikekalkan sebagai penguat semangat serta doa agar anak-anak yang berkhatan membesar dengan sihat dan berani. Bagi sebahagian ibu bapa, detik ini turut mengimbau kenangan lama ketika melalui pengalaman yang sama suatu ketika dahulu,” ujarnya.

Tambahnya, acara mandi menggunakan air bomba menjadi antara aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh para peserta.


“Mandi dengan air bomba adalah acara yang ditunggu-tunggu. Suasana menjadi ceria apabila anak-anak seronok bermain air sambil disaksikan ahli keluarga masing-masing,” jelasnya.

Dalam ucapannya, beliau yang mesra disapa Kak Ani turut menitipkan doa dan harapan buat semua peserta khatan.

“Kak Ani doakan agar anak-anak semua membesar dengan sihat dan gagah perkasa. Insya-Allah, menjadi lelaki qawwam yang mampu memimpin dan bertanggungjawab,” katanya.



Post a Comment

0 Comments