Oleh: Syamimi Manah
Kredit Foto: Media YB Rusli
WAKAF BHARU, 9 Disember – Projek Uptown Wakaf Bharu dijangka menjadi tumpuan baharu untuk keluarga dan masyarakat setempat apabila ia dilaksanakan tahun depan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah telah meninjau tapak cadangan pada Khamis lalu.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan menghidupkan suasana malam serta membuka peluang rezeki lebih luas kepada peniaga tempatan.
“Insya Allah, usaha ini bakal menjadi tumpuan baharu untuk seisi keluarga, anak muda dan peniaga setempat. Doakan moga dipermudahkan, tahun depan kita mula laksana usaha ini,” katanya.
Menurut Ketua Pegawai Tadbir DUN Wakaf Bharu Mohamad Amirul Izzuan Mohd Sharkan, lokasi cadangan Uptown adalah di perkarangan Pasar Wakaf Bharu, antara ruang depan pasaraya PKT dan pasar, sehingga ke tempat parking tepi pasar ikan.
Tambahnya, hal berkaitan peniaga masih dalam perancangan dan pihak DUN akan membuka permohonan kepada mereka yang berminat.
“Semestinya kami akan buka permohonan dan pastikan semua peniaga mendapat peluang untuk berniaga di Uptown ini,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Antara tarikan yang dirancang termasuk tempat makan, ruang permainan kanak-kanak, tempat santai keluarga, serta Dataran Usahawan bagi memeriahkan Uptown tersebut.



0 Comments