Pertandingan memancing toman tarik pemancing seluruh negara


Oleh: Asri Hamat

JELI, 14 Disember - Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penganjuran pertandingan memancing ikan toman menerima sambutan luar jangka apabila berjaya menarik penyertaan pemancing dari seluruh negara, termasuk beberapa pelancong antarabangsa yang kebetulan sedang bercuti di Kelantan.

Menurutnyta, pertandingan yang julung kali dianjurkan di Taman Perlindungan Ekosistem Sultan Ismail Petra (TPSIP), Tasik Pergau itu dilihat sebagai inisiatif strategik untuk memperkenalkan Kelantan kepada pengunjung luar.

Menurutnya, pada peringkat awal penganjuran, pihak urus setia menetapkan had penyertaan seramai 300 peserta, namun kerana permintaan tinggi daripada pemancing menyebabkan jumlah itu bertambah kepada 350 peserta.



“Penganjuran ini kali pertama dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Peserta bukan sahaja datang dari Negeri Kelantan malah dari Johor, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor dengan bot masing-masing.

"Bagi peserta dalam negeri, bot disediakan oleh pihak Majlis Daerah Jeli (MDJ), Bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)."

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan di majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Ikan Toman Piala Menteri Besar 2025, di TPESIP, di sini pada Sabtu.



Tambah beliau, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja berupaya menarik peminat sukan memancing, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi setempat.

Tasik Pergau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan habitat ikan air tawar, khususnya toman, dilihat mempunyai potensi besar untuk dijadikan lokasi pelancongan sukan memancing bertaraf nasional dan antarabangsa.

"Lokasi ini juga sesuai untuk dijadikan tempat perkhemahan, mukhayyam, retreat serta pemukiman kerana tempatnya yang menarik," tambah beliau.

Post a Comment

0 Comments