Pasukan bola sepak DUN Wakaf Bharu rangkul Piala MB 2025


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media U-BeS

KOTA BHARU, 14 Disember - Pasukan bola sepak Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar (MB) 2025 selepas menewaskan DUN Kemuning dengan keputusan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat 80 minit masa sebenar perlawanan, sebelum kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Wakaf Bharu membuka jaringan seawal minit kelima menerusi sepakan menarik dari luar kotak penalti oleh Mohd Amirul Syafik yang gagal dihalang penjaga gol Kemuning, Ikram Marzuki.



Pasukan Wakaf Bharu hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-21, namun tandukan Akil Farhan tersasar ke kanan pintu gol.

Kemuning cuba bangkit dengan beberapa serangan ke kubu Wakaf Bharu, namun berjaya dipatahkan oleh keampuhan benteng pertahanan Wakaf Bharu sekaligus menyukarkan usaha pasukan Kemuning untuk mencipta peluang berbahaya.

Pada minit ke-31, Amirul Syafik hampir menjaringkan gol kedua selepas merampas bola akibat kesilapan pemain Kemuning, namun situasi satu lawan satu gagal dimanfaatkannya setelah digagalkan pertahanan lawan, Edi Haikal. Wakaf Bharu mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.


Memasuki separuh masa kedua, Wakaf Bharu menambah gol pada minit ke-45 menerusi Amirul Syafik yang bijak memperdayakan pertahanan Kemuning sebelum mudah menolak bola ke gawang bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Kemuning berjaya merapatkan jurang pada minit ke-52 apabila Wan Aiman Haikal menyambar bola muntah hasil sepakan bebas ketua pasukan, Nur Iman Haikal, untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Momentum itu dimanfaatkan sepenuhnya apabila Adam Danial meledak gol penyamaan pada minit ke-67 selepas mengambil kesempatan kekalutan dalam kotak penalti Wakaf Bharu, sekali gus mengikat kedudukan 2-2.

Tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan sehingga tamat perlawanan, memaksa penentuan juara ditentukan menerusi sepakan penalti.

Wakaf Bharu muncul juara apabila menyempurnakan keenam-enam sepakan penalti, manakala Kemuning gagal pada sepakan keenam apabila tendangan Faiz Osman berjaya diselamatkan penjaga gol Wakaf Bharu, Zaim Ramli.


Sebagai juara, Wakaf Bharu membawa pulang wang tunai RM6,000 beserta piala dan medal, manakala Kemuning selaku naib juara menerima RM4,000 beserta medal. Tempat ketiga bersama dimenangi DUN Kijang dan Chempaka yang masing-masing menerima RM3,000 beserta medal.

Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan diberikan kepada Mohd Amirul Syafik dari Wakaf Bharu.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan. Turut hadir ialah Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad serta beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN).



Post a Comment

0 Comments