Rakan Muda Al-Quran jadikan masjid pusat transformasi belia

Timbalan Mufti Kelantan, YB Sahibul Fadhilah Dato’ Biji Sura Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 14 Disember – Masjid perlu dijadikan pusat transformasi bagi mendidik dan membentuk belia yang seimbang dari segi rohani, intelektual dan sahsiah, selaras dengan tuntutan Islam dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berdaya saing serta mampu berbakti kepada masyarakat dan negara.

Timbalan Mufti Kelantan YB Sahibul Fadhilah Dato’ Biji Sura Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Program Rakan Muda Al-Quran yang berlangsung di Masjid Jamek Muhammadi, di sini, semalam.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut wajar dipuji kerana memberi penekanan kepada pembangunan insan, pembentukan sahsiah serta kepimpinan belia melalui penghayatan Al-Quran.



“Masjid bukan sahaja tempat ibadah, sebaliknya merupakan institusi ilmu yang berperanan penting dalam membangunkan generasi masa depan. Ia perlu dimanfaatkan sebagai pusat transformasi untuk mendidik belia agar seimbang antara dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha mendekatkan belia dengan masjid dan Al-Quran adalah langkah strategik dalam membentuk kepimpinan masa hadapan yang berteraskan nilai Islam serta mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara.

Program Rakan Muda Al-Quran yang menghimpunkan kira-kira 150 peserta itu merupakan anjuran Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Kelantan Future Leader Institute (KFLI) dan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhammad dalam ucapan aluannya berkata program berkenaan merupakan permulaan kepada satu perjalanan hidup belia bersama Al-Quran.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhammad

Beliau berkata, cabaran kehidupan belia masa kini semakin mencabar dengan pengaruh teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan media sosial yang membuka ruang kepada pelbagai bentuk kemungkaran.

“Pilihan berada di tangan belia sendiri. Kerajaan negeri komited membentuk generasi muda yang memahami Islam dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Menurut beliau, Program Rakan Muda anjuran Kementerian Belia dan Sukan merangkumi 10 elemen utama, namun Program Rakan Muda Al-Quran itu disifatkan sebagai ‘10+1’ kerana Al-Quran menjadi paksi dan teras kepada keseluruhan elemen tersebut.

“Kita mahu Al-Quran ada dalam jiwa anak muda, diamalkan dalam kehidupan seharian serta disebarkan kepada rakan-rakan lain,” ujarnya.

Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai pengisian antaranya RMQ Talks, Klinik Tajwid, latihan asas tarannum, penulisan khat, penghasilan kandungan Al-Quran (Quran content creator) serta pameran agensi, yang bertujuan mendekatkan belia dengan Al-Quran secara lebih interaktif dan berkesan.



Post a Comment

0 Comments