Pembinaan Balai Komuniti Orang Asli Kampung Galang hampir siap


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 11 Disember – Pembinaan balai komuniti baharu bagi masyarakat orang asli di Kampung Galang, Pos Hau Gua Musang kini hampir siap dan dijangka boleh digunakan dalam masa terdekat.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata pembinaan balai komuniti itu dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk dengan bantuan sumbangan pejabat exco melalui Pusat Khidmat Penyelia DUN Galas.

“Alhamdulillah, nampak sudah hampir siap dan dijangka boleh mula digunakan oleh penduduk di sini dalam masa terdekat,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.


Menurutnya, sebelum ini Kampung Galang sudah mempunyai sebuah balai komuniti, namun keadaannya semakin uzur dan perlu dinaik taraf. Penduduk kemudian mengemukakan permohonan sumbangan bagi membina balai baharu.

“Cantik dan kreatif juga hasil air tangan mereka. Tahniah kepada semua penduduk yang membina balai ini secara gotong-royong,” katanya.

Kampung Galang menempatkan kira-kira 70 buah rumah dengan anggaran 300 penduduk, dan ramai juga dalam kalangan mereka beragama Islam.

Terdahulu, YB Zamakhshari bersama Penyelia DUN Galas Mohd Tarmizi Abdul Rahman menyantuni masyarakat orang asli di kampung tersebut sambil mendengar sendiri isu-isu setempat untuk perhatian kerajaan negeri.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Mohd Tarmizi, Penghulu Tanpa Mukim Orang Asli DUN Galas Jumat serta Tok Batin dan seluruh penduduk Kampung Galang atas kerjasama mereka.

Post a Comment

0 Comments