Oleh: Asri Hamat
JELI, 14 Disember - Tasik Pergau yang diisytiharkan sebagai Taman Perlindungan Ekosistem Sultan Ismail Petra (TPESIP) mencatat sejarah apabila dibuka buat julung kalinya bagi penganjuran Pertandingan Memancing Ikan Toman Piala Menteri Besar 2025.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, penganjuran pertandingan itu bertujuan mengawal populasi ikan toman yang semakin banyak sehingga mengancam kelangsungan spesies ikan air tawar lain di tasik berkenaan.
Menurut beliau, ikan toman merupakan spesies pemangsa paling dominan di Tasik Pergau berbanding ikan pemangsa lain.
![]() |
| Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
“Dalam tasik ini sebenarnya terdapat banyak ikan pemangsa, namun ikan toman adalah yang paling banyak. Pada peringkat permulaan, kita adakan pertandingan memancing ikan toman dahulu.
“Insya-Allah, selepas ini kita akan sembah maklum kepada Tuanku al-Sultan supaya program seperti ini dapat diadakan secara berkala, bukan sahaja bagi mengurangkan ikan toman, malah spesies ikan pemangsa air tawar lain juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Ikan Toman Piala Menteri Besar 2025 di TPESIP, di sini pada Sabtu.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar turut menyifatkan aktiviti memancing sebagai satu latihan kesabaran yang tinggi.
“Orang yang kurang sabar tidak boleh memancing. Begitu juga orang yang lemah semangat. Ada pemancing yang seharian suntuk malah sampai satu malam tidak memperoleh seekor ikan, namun keesokan harinya tetap datang semula. Ini menunjukan tahap kesabaran pemancing sangat tinggi.
“Jadi kalau mahu jadikan panduan kesabaran dalam kehidupan, pemancing boleh dijadikan contoh,” katanya.
Tambah beliau lagi, ikan toman lazimnya mudah dipancing ketika hujan lebat, khususnya pada waktu petang.
“Alhamdulillah hari ini ada peserta yang bernasib baik berjaya menaikkan ikan toman bersaiz besar, dengan tangkapan paling berat mencecah 11.169 kilogram,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada semua pemancing yang berjaya.
Dalam pertandingan itu, Wan Zaman Wan Ya dari Tanah Merah muncul juara dengan tangkapan seberat 11.169 kilogram. Tempat kedua dimenangi Qayyum Mohamed Danian dari Kota Bharu (10.764 kilogram), diikuti Mohd Nazri Azemin dari Kota Bharu (10.472 kilogram) di tempat ketiga.
Sementara itu bagi tempat keempat dan kelima dimenangi oleh Mohd Rozi Awang Man dari Tok Bali, Pasir Puteh (10.362 kilogram) dan Nik Amirul Faizal Nik Rohim dari Tanah Merah (10.156 kilogram), manakala Mohd Nazri Azemin pula memenangi kategori tangkapan terbanyak selepas berjaya menaikkan tiga ekor ikan toman.
Juara menerima wang tunai RM3,000, naib juara RM2,000, tempat ketiga RM1,500, keempat RM1,000 dan kelima RM500, manakala pemenang tangkapan terbanyak menerima RM1,000 yang telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar.
Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Rosnazli Amin, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor, beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN) serta Ketua Jajahan Jeli, Wan Fahazil Wan Mohamad Jaffar.






0 Comments