Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Bersatu
Kelantan yakin pelantikan Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri
Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan memperkukuhkan lagi
gabungan tersebut.
Pengerusinya, Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, Dr Ahmad Samsuri masih muda dan memiliki idea bernas untuk menerajui PN ke arah lebih cemerlang.
Menurut beliau, pilihan raya umum (PRU) akan datang menjadi ukuran penting terhadap kekuatan PN termasuk pertambahan kerusi Parlimen serta keupayaan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Kita yakin Dr Ahmad Samsuri boleh membawa kemenangan kepada PN di peringkat pusat sebagaimana kejayaan di Terengganu pada pilihan raya lalu.
“Justeru, kita memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya termasuk dari segi tenaga untuk memastikan kemenangan PN,” katanya selepas merasmikan majlis Peluncuran Bulan Emas Kelantan 2026 di sebuah hotel malam tadi.
Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pelantikan tersebut dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kepimpinan serta hala tuju PN menjelang PRU ke-16.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan berundur daripada mengetuai PN berkuatkuasa 1 Januari lepas. PN kini dianggotai PAS, Bersatu dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).



0 Comments