![]() |
| Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Adenan Hassan sewaktu menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran |
TUMPAT, 26 Mac — Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Adenan Hassan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kok Keli sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap mangsa.
Menurut YB Adenan, bantuan yang disalurkan itu diharap dapat meringankan beban mangsa selain memberi semangat untuk terus bangkit menghadapi ujian yang menimpa.
“Dalam saat sukar seperti ini, kebersamaan dan solidariti masyarakat amat penting bagi membantu mereka yang sedang berdepan kesusahan,” katanya menerusi media sosial pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mangsa.
“Semoga segala kebaikan ini diberkati dan dibalas dengan ganjaran berlipat ganda,” ujarnya.
Dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 2 Syawal lalu, dua buah rumah dilaporkan hangus sepenuhnya manakala sebuah surau turut terjejas. Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
YB Adenan turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dan mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan, kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi dugaan tersebut.
“Kami amat bersedih atas musibah ini dan berdoa agar segala urusan mangsa dipermudahkan serta dikurniakan gantian yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut berharap semua mangsa sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT sepanjang menghadapi tempoh pemulihan ini.


0 Comments