Rumah Terbuka Aidilfitri satukan hati rakyat, ziarah rentas kaum perkukuh perpaduan




Oleh: Irham Hilmi Hashim 

TUMPAT, 25 Mac – Amalan saling berziarah sempena Aidilfitri terus memperkukuh perpaduan apabila penganjuran rumah terbuka berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana harmoni dan penuh ukhuwah. 

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pengkalan Kubor 1447H anjuran Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat mencatat kehadiran lebih 2,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk Melayu, Cina, India dan Siam.

Menariknya, majlis tersebut turut disertai delegasi 40 orang dari Tak Bai, Thailand yang diketuai Pegawai Daerah kawasan berkenaan, sekali gus memperlihatkan jalinan hubungan merentas sempadan yang terus utuh.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat

Menurut Dato' Wan Roslan, penganjuran rumah terbuka bukan sekadar tradisi, sebaliknya menjadi ruang strategik menyatukan masyarakat tanpa mengira perbezaan.

“Aidilfitri bukan hanya tentang sambutan, tetapi ia adalah ruang untuk kita menyatukan hati, memupuk kasih sayang serta mengeratkan hubungan sesama insan tanpa mengira perbezaan,” katanya.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan pelbagai juadah tradisi Aidilfitri hasil gotong-royong penduduk setempat yang menyediakan hidangan secara sukarela, mencerminkan semangat kebersamaan yang terus subur dalam komuniti dan amalan berjimat cermat. 

Dato' Wan Roslan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, sama ada dari dekat mahupun jauh.

"Semoga kebersamaan ini menjadi asbab keberkatan dan terus memperkukuh perpaduan dalam masyarakat,” ujarnya.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim serta Ahli Parlimen Tumpat, YB Mumtaz Md Nawi.

Sementara itu, suasana sama turut dirasai di kediaman Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato’ Dr Izani Husin yang menerima kehadiran luar jangka daripada masyarakat pelbagai lapisan.

Beliau berkata, majlis yang dianjurkan bersama keluarga itu berlangsung lancar dengan penyediaan juadah mencukupi untuk semua tetamu yang hadir.

“Terima kasih kepada semua yang sudi singgah dan hadir memeriahkan rumah terbuka saya dan keluarga. 

"Kehadiran yang diterma luar jangka, namun alhamdulillah segala juadah mencukupi dan majlis berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersila orang ramai yang tidak berkesempatan hadir agar memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijang yang dijadualkan berlangsung pada 11 April depan. 

“Bagi yang tidak berkesempatan hadir, dipersilakan ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijang pada 11 April (Sabtu) bertempat di Dataran Kijang. Insya-Allah kita bertemu di sana,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments