Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Perkongsian pengalaman selebriti dan aktivis kemanusiaan Ardell Aryana mengenai insiden tudungnya direntap tentera Israel ketika menyertai Misi Sumud Nusantara menarik perhatian orang ramai.
Ardell berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mereka berdepan dengan tentera Israel yang bertindak kasar terhadap peserta misi berkenaan.
Menurutnya, tudung yang dipakainya ditarik dan direntap tentera Israel sambil mereka ketawa beramai-ramai.
“Mereka betul-betul ingin memalukan wanita Islam. Mereka rasa itu satu kejayaan besar bagi mereka,” katanya ketika berkongsi pengalaman tersebut pada program Kelantan Hijab Day yang diadakan di Madinah Ramadan semalam.
Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita negeri, Dato' Rohani Ibrahim.
Beliau yang nama sebenar Nurul Hidayah Mohd Amin mengakui detik itu menjadi pengalaman yang sangat memberi kesan kepadanya sebagai seorang muslimah.“Kalau saya boleh ulang balik masa, saya nak pertahankan tudung saya. Tak kisahlah kalau mereka ambil nyawa saya sekalipun,” ujarnya.
Ardell turut menegaskan hijab membawa makna yang sangat besar kepada seseorang wanita Islam.
Katanya, hijab bukan sekadar pakaian, tetapi melambangkan tiga perkara utama iaitu menutup aurat, menjaga maruah wanita dan mempertahankan maruah umat Islam.
Ardel turut mengingatkan masyarakat tidak meletakkan artis sebagai idola kerana mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada menghadapi ujian kehidupan.
Menurutnya, ramai netizen meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap golongan artis sehingga menjadikan mereka sebagai contoh atau dalam kehidupan.
“Kalau nampak perubahan yang baik pada mereka, kita bersyukur dan gembira serta doakanlah mereka agar terus istiqamah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak sekadar menilai perubahan seseorang, sebaliknya sentiasa mendoakan agar mereka terus istiqamah.
Tambahnya, apabila seseorang memilih untuk berhijab, mereka juga berdepan dengan ujian tertentu yang mungkin tidak dilihat oleh orang lain.Ardel juga menasihatkan masyarakat agar tidak beranggapan kehidupan berhijab itu mudah kerana setiap perubahan memerlukan perjuangan dan kesungguhan.
“Saya sendiri tidak layak menyebut soal istiqamah kerana ujian setiap orang berbeza. Semoga Allah memberikan hidayah dan kekuatan kepada semua untuk terus memperbaiki diri,” katanya.
Sementara itu, selebriti dakwah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki menjelaskan hijab tidak mengurangkan kecantikan seseorang wanita sebaliknya menjadikan kecantikan wanita lebih bernilai dan dihormati.
“Hijab tidak menjadikan wanita itu kurang cantik, tetapi menjadikan kecantikannya lebih bernilai,” katanya.



0 Comments