Oleh: Syamimi Manah
GUA MUSANG, 26 Mac – Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat DUN Nenggiri dipergiat sebagai inisiatif mendidik masyarakat agar lebih berwaspada ketika memandu, khususnya sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan di jalan raya.
Penyelia DUN Nenggiri Rizwadi Ismail berkata, kesedaran terhadap aspek keselamatan perlu sentiasa diperkukuh bagi mengurangkan risiko kemalangan, lebih-lebih lagi ketika aliran trafik meningkat susulan kepulangan perantau.
Menurutnya, kempen tersebut berperanan sebagai platform pendidikan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Semoga semua perantau selamat kembali ke rumah masing-masing. Berhati-hatilah di jalan raya dan utamakan keselamatan diri serta orang lain,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Program anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Kelantan itu berlangsung di hadapan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis dan telah disempurnakan oleh Ketua Jajahan Gua Musang Roshdi Ismail.
Selain menyampaikan mesej keselamatan, pihak penganjur turut mengagihkan topi keledar percuma serta cenderahati kepada pengguna jalan raya sebagai galakan kepada amalan pemanduan selamat dan bertanggungjawab.
Dalam ucapan perasmian, Roshdi berharap Inisiatif berkenaan mampu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat agar sentiasa mengutamakan keselamatan, sekali gus memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman berlangsung dengan selamat dan sejahtera.



0 Comments