Kerajaan negeri perkasa infrastruktur jalan menerusi peruntukan Kemudahan Rakyat

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 26 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkasa pembangunan infrastruktur jalan di kawasan luar bandar menerusi peruntukan Kemudahan Rakyat (KR) bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Noor berkata, peruntukan KR merupakan antara instrumen penting yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani isu prasarana rakyat secara lebih tersusun, berperingkat dan berkesan, khususnya melibatkan laluan jalan di kawasan kampung.

Menurutnya, komitmen berterusan itu diterjemahkan menerusi gerak kerja Pejabat Pusat Khidmat DUN Kemuning selepas bercuti sempena Aidilfitri, di samping memberi tumpuan kepada penyelarasan projek-projek infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Alhamdulillah, pejabat kami telah mula beroperasi sepenuhnya hari ini. Perbincangan bersama para penghulu semalam sangat produktif dan kita telah mengenal pasti beberapa lagi jajaran jalan yang perlu diberi perhatian segera untuk dibaik pulih bagi tahun 2026,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan di Pusat Khidmat DUN Kemuning, semalam.

Beliau memaklumkan, berdasarkan rekod pelaksanaan projek di bawah Pusat Khidmat DUN Kemuning, sebanyak lapan batang jalan berjaya dinaik taraf pada tahun 2024, manakala lima batang jalan lagi telah siap dibaiki pada tahun 2025 menerusi peruntukan yang sama.

Katanya, pencapaian itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mempertingkat kemudahan asas rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian berterusan terhadap aspek jaringan perhubungan dan aksesibiliti.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri para penghulu bagi membincangkan pelan tindakan projek membatu dan mengetar jalan yang dijadual dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Tambahnya, kesinambungan pelaksanaan projek bagi tahun 2026 mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyahut keperluan rakyat secara saksama, selain memastikan kemudahan jalan raya di DUN Kemuning sentiasa berada pada tahap memuaskan.

Selain peruntukan KR, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai sumber dana lain bagi menyokong usaha menambah baik kualiti jalan raya dan prasarana setempat secara menyeluruh.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala gerak kerja kami dalam usaha memberikan keselesaan dan keselamatan kepada rakyat di DUN ini,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments