Oleh: Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Rakyat diingatkan supaya merancang perbelanjaan dengan bijak susulan tempias ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat, dijangka memberi kesan kenaikan harga barang ekoran harga minyak melambung.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri Kelantan, Dato Rohani Ibrahim berkata, walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut, kesannya tetap dirasai khususnya melalui peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, kenaikan harga diesel sehingga lebih RM5 seliter akan menyebabkan peningkatan harga makanan dan barangan keperluan lain.
“Apabila harga minyak meningkat, ia akan memberi kesan berantai kepada semua sektor termasuk pengangkutan dan bekalan makanan, sekali gus meningkatkan beban rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Dun Tanjong Mas semalam.
Kata beliau juga kenaikan harga barangan dijangka berlaku selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, akan memberi kesan lebih luas kepada rakyat sekiranya tidak ditangani dengan teliti.Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati berbelanja bagi mengelakkan beban kewangan menjadi lebih parah.
Beliau juga berkata penganjuran majlis Aidilfitri sebagai medium mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat untuk bertemu dan berkenalan selepas lama tidak berjumpa.
Program bermula jam 11 pagi hingga 2 petang dan berlanjutan jam 3 petang dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.


0 Comments