Kenaikan mendadak diesel ‘bom jangka’ cetus inflasi

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Langkah kerajaan Madani menaikkan harga diesel RM5.52 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini dianggap sebagai ‘bom jangka’ yang boleh mencetuskan tekanan inflasi lebih meluas serta meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, langkah tersebut mendedahkan ekonomi negara kepada risiko peningkatan harga barangan susulan tekanan kos dalam rantaian bekalan dan logistik.

Katanya, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos pengangkutan dijangka menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan harga pasaran.

“Selepas hampir empat minggu konflik tercetus, kerajaan masih dilihat samar dalam menilai impak ekonomi secara menyeluruh tanpa petunjuk jelas berhubung langkah mitigasi yang akan diambil,” katanya pada kenyataan.

Semalam Kementerian Kewangan mengumumkan pelarasan Harga Runcit Petroleum bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini iaitu RON97 (RM5.15 seliter), RON95 tanpa subsidi (RM3.87 seliter), RON95 bersubsidi (BUDI95) kekal RM1.99 seliter.

Manakala diesel Semenanjung Malaysia RM5.52 seliter, namun diesel Sabah, Sarawak & Labuan kekal RM2.15 seliter.

Syahir berkata, konflik di Asia Barat yang tercetus pada 28 Februari lalu turut menyumbang kepada kenaikan harga bahan api global, sekali gus memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia.

Oleh itu katanya kerajaan perlu segera menggariskan langkah mitigasi lebih konkrit melalui kerangka ‘3M’ iaitu menyerap kejutan, melindungi rakyat dan memperkasa ekonomi.

Langkah pertama menyerap kejutan melalui mekanisme penstabilan harga yang lebih dinamik termasuk pengurusan subsidi fleksibel serta pelepasan stok makanan dan rizab tenaga secara strategik.

Langkah kedua melindungi rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada tekanan kos melalui bantuan bersasar, insentif sokongan serta peranan aktif institusi kewangan seperti ketika pandemik.

“Langkah ketiga memperkasa daya tahan ekonomi domestik melalui pengukuhan rantaian bekalan, keterjaminan makanan dan tenaga serta sokongan berterusan kepada sektor PMKS,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan usaha menangani tekanan fiskal tidak wajar dilakukan dengan memindahkan beban kepada rakyat sama ada melalui pelarasan harga atau mekanisme silang subsidi yang tidak telus.

Menurutnya, kenaikan berterusan harga diesel berisiko mencetuskan inflasi lebih luas boleh menjejaskan kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Jika tidak ditangani secara segera dan strategik, ‘bom jangka’ ini akan menjadi beban besar kepada rakyat dan negara,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments