Rumah Terbuka Aidilfitri sederhana, budaya ziarah dan berjimat cermat diutamakan -TMB Kelantan


Oleh: Norzana Razaly

MACHANG, 26 Mac – Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri oleh pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan dilaksanakan dalam suasana sederhana dengan penekanan kepada amalan berjimat cermat, tanpa menjejaskan nilai kebersamaan dan tradisi ziarah masyarakat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendekatan tersebut diambil susulan peningkatan kos sara hidup, namun penganjuran tetap diteruskan bagi memastikan ruang pertemuan antara pemimpin dan rakyat terus terpelihara.


“Tujuan utama penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri ialah bertemu mata dengan semua peringkat masyarakat. Inilah peluang para perantau datang bersama keluarga mereka yang bermastautin di Kelantan untuk bertemu para pemimpin dalam suasana santai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Kaabah, di sini, pada Selasa.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap peningkatan harga barangan dan mengambil pendekatan berhemah dalam setiap penganjuran program melibatkan rakyat.


Menurutnya, konsep gotong-royong turut diterapkan dalam penganjuran rumah terbuka bagi mengawal kos perbelanjaan, di samping mengekalkan kemeriahan sambutan Aidilfitri.

Katanya lagi, pendekatan tersebut  mencerminkan keprihatinan terhadap realiti ekonomi semasa, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat yang pelbagai kaum.

“Kerajaan negeri mahu memastikan sambutan Aidilfitri terus diraikan dalam suasana harmoni dan sederhana, selaras dengan nilai budaya serta tuntutan semasa,” katanya.

Post a Comment

0 Comments