PN tidak terjejas tanpa penyertaan MIC

Oleh: Salmah Mat Husain|Foto: Asri Hazim

KOTA BHARU: "Jika MIC mengatakan mereka tidak pernah memohon untuk menjadi anggota Perikatan Nasional (PN), sila buktikan kerana kita mempunyai bukti permohonan berkenaan.

"Malah pada 14 Mac lalu, permohonan berkenaan disahkan secara rasmi menerusi mesyuarat PN yang meluluskan kemasukan MIC dalam PN," kata Setiausaha Agungn PN Dato Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan hari ini.

Beliau menegaskan MIC membuat permohonan untuk menjadi ahli parti PN dengan menghantar surat pada 15 November tahun lalu.

Permohonan dibuat menerusi Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dengan menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika itu sebagai Pengerusi PN.

Beliau berkata menerusi permohonan berkenaan, PN meneliti dan membincangkan permohonan daripada MIC sebelum diterima sebagai anggota PN pada Disember lalu.

Katanya, permohonan untuk diterima semula ke dalam PN disebabkan MIC menganggap mereka adalah pengasas bersama PN, memandangkan ketika PN ditubuhkan, terdapat tiga parti iaitu PAS, Bersatu dan MIC.

"MIC antara pengasas, namun disebabkan mereka kekal dalam BN, maka dia mohon untuk diterima masuk semula.

"Hari ini saya mahu jelaskan kita mempunyai bukti berhubung surat permohonan yang dibuat oleh MIC menerusi presidennya pada November tahun lalu," ujarnya.

Menurutnya permohonan kemasukan itu diterima dan PN mengeluarkan surat tawaran secara rasmi kepada MIC memaklumkan sama ada mereka menerima permohonan menyertai PN atau sebaliknya.

"Namun hasil mesyuarat pada 25 Mac lepas, MIC menerusi kenyataan media memaklumkan tidak menerima untuk menyertai PN.

"Tidak mahu terima tiada masalah, MIC hanya ada satu kerusi Parlimen bukannya 10 kerusi dan ia tidak menjadi masalah kepada PN.

"PN bersama dengan empat parti anggota sudah mencukupi dan saya tegaskan di sini PN bukan parti untuk dijual dan bukannya hotel. Yang nak jadi ahli PN, kena memohon.

"Mereka tidak mahu sertai terpulang dan tiada masalah buat kami. Malah, PN juga kini sedang memproses beberapa permohonan parti yang berminat untuk menyertai PN," katanya.

Takiyuddin turut menunjukkan surat yang ditandatangani Vigneswaran dihantar secara serahan tangan kepada Muhyiddin dengan tajuk kemasukan semula ke dalam PN.

Menerusi surat berkenaan, MIC juga memohon pencerahan berhubung empat perkara termasuk adakah kemasukan mereka semula secara automatik dan tanpa sebarang prasyarat selain jawatan pimpinan MIC dalan PN serta agenda PN untuk masyarakat India.

Media sebelum ini melaporkan, MIC membuat keputusan untuk mengekalkan status quo bersama Barisan Nasional (BN) susulan perubahan kepimpinan dalam PN.

Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan, dilaporkan berkata, keputusan untuk meneroka potensi kerjasama dengan PN dibuat semasa Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti tahun lalu.

Post a Comment

0 Comments