KOTA BHARU: Anak Penghulu Mukim Berangan, Dun Kelaboran, Yahya Lotfi muncul sebagai salah seorang daripada 18 pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.
Hasil kejayaan tersebut Siti Maisarah Yahya Lotfi dari Tumpat menerima anugerah khas daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Selain itu, beliau turut menerima saguhati RM1,000 daripada Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) sebagai penghargaan di atas kecemerlangan akademik sempena majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Negeri Kelantan 2025 yang diadakan semalam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kejayaan pelajar terbabit mengharumkan nama keluarganya serta mengangkat martabat sekolah dan dunia pendidikan negara.
“Siti Maisarah membuktikan usaha gigih dan komitmen tinggi mampu menghasilkan pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan,” katanya di sini.
Sebanyak 18 calon dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2025 kebangsaan iaitu tujuh dari aliran Sains dan Sains Sosial, manakala tiga bagi kategori Berkeperluan Pendidikan Khas dan seorang calon Orang Asli.
Selain biasiswa, pelajar terbabit turut menerima wang tunai bernilai RM1,000, plak dan sijil dari Majlis Peperiksaan Malaysia.
Wan Roslan juga berkata, bagi Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Kelantan 2025 seramai 1,494 pelajar menerima anugerah kecemerlangan iaitu meningkat 194 orang (14.9 peratus) berbanding tahun 2024.
Katanya, seramai 1,494 pelajar menerima Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan, meningkat berbanding 1,301 pelajar pada tahun 2024 dan 1,200 pelajar (2023).
“Peningkatan yang konsisten tersebut menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Kelantan dalam usaha memperkasakan bidang pendidikan serta menghargai kecemerlangan anak-anak,” ujarnya.
Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 dianjur Yayasan Islam Kelantan (YIK) diadakan di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia dan Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.
Majlis tersebut disempurnakan perasmian oleh Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Dalam majlis yang sama Menteri Besar turut menyampaikan cek cura berjumlah RM747,000 kepada Pengarah Negeri Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Hamdan Razali.
Peruntukan tersebut merupakan insentif kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 dan boleh dituntut selepas tempoh 14 hari.






0 Comments