
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri melahirkan rasa hairan pembatalan sambutan Hari Peneroka di
Kluang Johor tidak dibangkit Timbalan Perdana Menteri (TPM) 1, Dato’ Seri Ahmad
Zahid Hamidi, sebaliknya diungkit pembangkang.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada halangan seorang Menteri Besar masuk ke kawasan Felda bagi menganjurkan program mereka.
Katanya, sambutan Hari Peneroka tidak dilarang sebagaimana digambarkan sebelum ini.
“Kerajaan negeri hendak bagi geran itu tidak ada masalah. Awal-awal dibatalkan, saya tidak beri arahan, cuma apa yang saya sebut tidak boleh guna jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya.
“Hendak guna jentera Felda ketika kempen pilihan raya tidak boleh. TPM 1 tidak bangkit, tetapi dibangkit oleh ahli parlimen Larut,” katanya pada sesi soal jawab bersama Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu Ketua Pembangkang Dato’ Seri Hamzah Zainuddin mahu penjelasan Perdana Menteri mengenai isu tersebut kerana pembatalan sambutan Hari Peneroka diviral di media sosial.
Kata beliau Felda adalah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, tiba-tiba dua tiga hari sebelum berlangsung sambutan Hari Peneroka ia dibatalkan.
Sedangkan beliau berkata, peneroka Felda menunggu sambutan Hari Peneroka Felda yang dijadual diadakan di Kluang, Johor bagi membolehkan mereka menerima geran tanah.
“JPM ada perdana menteri dan timbalan perdana menteri. Apa sebenarnya punca sambutan Hari Peneroka Felda tiba-tiba dibatalkan,” ujarnya.
Pada 17 Jun lepas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Dato’ Zahari Sarip dilapor berkata, pihaknya dimaklumkan Felda Johor menerima arahan supaya sambutan berkenaan tidak diteruskan.
Katanya, keputusan itu diterima hanya empat hari sebelum program berlangsung, sedangkan pelbagai persiapan dibuat kerajaan negeri, Felda dan jawatankuasa di peringkat rancangan.
Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026 dijadual berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lepas.
Kata Zahari, sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor merupakan acara tahunan menghimpunkan warga Felda dari seluruh negeri sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap pembangunan Johor dan negara.
“Antara acara utama yang dirancang termasuk penyerahan hak milik kepada 210 peneroka serta pelbagai program pembangunan komuniti, pameran agensi kerajaan, aktiviti belia dan keluarga,” ujarnya.
Malah, Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Muhamad Akmal Saleh meminta Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Felda menjelaskan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor.
Menurutnya persoalan
itu timbul selepas Ahmad Zahid menafikan mengeluar arahan membatalkan program
berkenaan mahupun menghalang Menteri Besar Johor memasuki kawasan Felda.
Menurutnya, terdapat pihak yang sebelum ini menuding jari kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Felda, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung kontroversi tersebut.
Ahli parlimen Hulu Terengganu Dato’ Rosol Wahid ketika bangun mencelah berkata, Perdana Menteri tidak menjawab soalan yang dibangkitkan.





0 Comments