Arwah rajin mengaji sebulan sebelum kemalangan

 

Oleh Salmah Mat Husain |

PASIR MAS: Rakan serumah Allahyarham Muhammad Jaris Amirul memberitahu arwah rajin mengaji dalam tempoh sebulan sebelum meninggal dunia.

Ibu tirinya Nor Afini Din, 42 berkata, rakan-rakannya memberitahu arwah sering membaca al-Quran dengan suara agak kuat seminggu sebelum kejadian.

“Rakan serumah dengan arwah memaklumkan Muhammad Jaris rajin membaca al Quran sebelum kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Kubur Taman Mekasar, Kasar di sini semalam.

Sebelum itu keluarga terbabit menerima kunjungan pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diketuai Timbalan Pengarah Negeri, Nor Aziemah Ismail.

Sempena kunjungan tersebut Nor Aziemah menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 dan Faedah Orang Tanggungan RM1,952 sebulan seumur hidup.

Allahyarham Muhammad Jaris Amirul meninggal dunia pada 23 Mei lalu ekoran motosikal yang ditunggangnya melanggar pembahagi jalan berhampiran simpang di Kota Iskandar, Johor Bahru ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Pemergian anak sulung daripada enam beradik itu amat mendukacitakan Nor Afini dan suaminya, Sharulanuar Baharom, 56.

Beliau turut berkongsi beberapa petanda lain selepas pemergian anaknya, termasuk kesungguhan arwah melaksanakan ibadah korban tahun ini dengan menyerahkan wang lebih awal.

“Rupanya itu petanda arwah akan pergi sebelum tiba Aidiladha, dia sudah meninggalkan kami,” katanya.

Nor Afini mengakui hubungannya dengan arwah sangat rapat kerana membesarkan anak tirinya itu sejak berusia 1O tahun. Ibu kandung arwah, Jasnida Abdul Jamil meninggal dunia pada tahun 2002 ketika melahirkan anak ketiga.

Bagaimanapun Nor Afini dan suami bersyukur kerana dapat menunaikan hasrat arwah untuk menjadi penderma organ.

Sharulanuar berkata, seluruh keluarga termasuk arwah telah lama menjadi pengikrar penderma organ.

“Selepas berbincang, kami bersetuju mendermakan kedua-dua kornea mata arwah sebelum membawa jenazahnya pulang ke Kelantan untuk dikebumikan.

“Kami tidak mengetahui identiti penerima kerana perkara itu dipersetujui sejak awal bagi menjaga privasi individu berkenaan,” katanya.

Oleh itu mereka berharap dapat dipertemukan dengan individu yang menerima kornea mata anaknya sebagai cara untuk melepaskan kerinduan terhadap arwah.

Menurutnya sekadar dapat bertemu dengan penerima kornea arwah bagi menatap matanya untuk melepaskan rindu kepada arwah.

“Harap-harap ada rezeki berjumpa dan semoga dia sudi tampil jika terbaca kisah ini. Sehingga kini saya sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan penerima kornea tersebut.

“Allahyarham seorang anak yang baik, mendengar kata dan sangat mengambil berat terhadap adik-beradiknya. Arwah juga seorang abang yang bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keluarga,” katanya.

Biarpun masih bersedih, Nor Afini reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya Allah SWT lebih menyayangi anaknya. Pemergian Jaris Amirul enam hari sebelum ulangtahun kelahirannya yang ke-29.

“Adik bongsunya, Muhammad Qarizh Aryan, 10 turut terkesan dan sehingga kini masih menangis serta menziarahi kubur abangnya dua kali sehari,” katanya.

Post a Comment

0 Comments