KOTA BHARU: Nasib malang 27 keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Gok Kapur Isnin lepas mendapat pembelaan kerajaan negeri apabila bersetuju menanggung kos sewaan rumah bagi tempoh tiga bulan pertama.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan diselaras dan diurus selia Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.
Katanya, langkah tersebut bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara teratur dan berkesan kepada keluarga yang terlibat.
“Bantuan ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara, khususnya membantu mereka mendapatkan tempat tinggal sementara yang selesa dan selamat,” katanya pada kenyataan hari ini.
Pada kejadian Isnin lepas sebanyak 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapor yang melibatkan kawasan seluas kira-kira enam ekar.
Sekarang 110 mangsa daripada 29 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Mukim Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri amat memahami kesukaran yang dihadapi mangsa dan keluarga susulan kehilangan tempat tinggal serta harta benda dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mencemar duli menziarahi dan menyantuni mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapor malam tadi.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, keberangkatan baginda mencerminkan sifat pemimpin yang sentiasa dekat di hati rakyat, khususnya ketika mereka berdepan ujian dan musibah.
“Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa-mangsa terlibat.
“Sesungguhnya perhatian dan keprihatinan yang dizahirkan baginda amat bermakna serta memberi semangat kepada mangsa untuk terus tabah menghadapi dugaan,” katanya.




0 Comments