KUALA LUMPUR: “Kena gantung dan gam sudah jadi perkara biasa. Percayalah Allah janjikan sesuatu yang lebih istimewa.
“Saya sudah lali dengan gantung tugas, direhatkan atau tidak diperlukan lagi. Itu alasan apabila kita tak sehaluan pendapat,” kata bekas pengulas sukan Dato’ Dahlan Maamor.
Beliau berkata, walaupun tidak sehebat Dato’ Rahim Razali atau Allahyarham Dato’ Habusllah atau Haji Zainal Rawop mahupun Abu Bakar Atan, namun pernah merasai keterujaan berkhidmat sebagai pengacara bolasepak Piala Dunia.
“Kepada sahabat saya, Haji Azlan Johar inilah cabaran bila kita berjuang atas landasan kebenaran,” katanya pada lontaran di laman sosialnya.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan pada kenyataan medianya hari ini mendakwa pengulas sukan di RTM, Azlan Johar direhat sebagai pengulas pertandingan Piala Dunia 2026 kemungkinan ada kaitan menyertai PAS di Seremban pada 13 Jun lalu.
Dahlan berkata, apabila Azlan menyertai PAS, bekas pemain bola sepak kebangsaan itu diibarat membina rumah di tepi pantai.
Kata beliau hanya sabar sebagai ubat yang terbaik bagi menghadapi situai yang berlaku ke atas Azlan.
“Bukan kerana kita ‘sakit tekak’ tak dapat mengulas perlawanan tetapi kerana ada yang ‘sakit hati’ kerana kita punya jiwa melawan.
“Saya selalu berkata kata dalam hati, buatlah selagi kamu mampu sebab kamu sedang di anjung kuasa. Namun percayalah, tiada kuasa yang kekal selamanya, dan tiada kuasa dapat mengatasi kuasa Allah,” ujarnya.
Menurutnya apabila ribut, kilat, petir dan hujan perlahan-lahan reda ketika itu baru mereka (kerajaan) sedar kerana menyusahkan insan lain.
“Nasi sudah menjadi bubur. Ketika itulah burung mula keluar berterbangan mencari kelkatu dan giliran kita ke sungai mengangkat pukat ikan,” tambahnya.


0 Comments