
KOTA BHARU: Pemuda
PAS Malaysia akan menggerakkan penyatuan ummah mega bagi menggambarkan
kesungguhan pemuda untuk menyatukan umat Islam di negara ini.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, usaha ke arah itu perlu bermula dengan penyatuan ummah bagi memastikan generasi akan datang mewarisi masyarakat lebih kukuh, harmoni dan bersatu.
“Konsep ummah tidak boleh disempitkan kepada jumlah manusia yang ramai, blok politik tertentu, sebaliknya ummah merupakan masyarakat yang mempunyai ikatan, nilai, arah dan tanggungjawab bersama.
“Penyatuan bukan bermaksud kita tidak mempunyai perbezaan. Ummah yang kuat ialah ummah yang mampu mengurus perbezaan tanpa merosakkan persaudaraan,” katanya pada ucapan dasar sempena Muktamar Dewan Pemuda Malaysia kali ke-67 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya juga perpecahan dalam kalangan Melayu-Islam akan melemahkan kekuatan ekonomi dan keupayaan politik.
Kata beliau perpecahan bukan perkara kecil dan apabila ruang itu tidak diisi dengan kekuatan ummah, pihak lain pula akan mengambil peluang.
Sehubungan itu katanya Dewan Pemuda PAS tahun ini mengangkat tema ‘Memimpin Penyatuan’ bagi jambatan untuk menemukan kekuatan umat yang sebelum ini berpecah.
Beliau juga berkata, usaha penyatuan antara Pemuda PAS dan Pemuda Umno dimulakan melalui pertemuan bagi membina jambatan di Johor sebelum berkembang ke Negeri Sembilan.
“Penyatuan tidak boleh bersifat bermusim atau hanya berlaku apabila pilihan raya semakin hampir. Parti politik hanya wadah untuk melaksanakan amanah.
“Dan penyatuan Melayu-Islam tidak bermaksud menghapus atau menafikan hak kaum lain, sebaliknya ia perlu digunakan untuk membawa keadilan kepada seluruh rakyat,” katanya.
Pada ucapan yang sama beliau turut menyentuh langkah kerajaan Kedah mengharamkan premis judi terhalang apabila keputusan mahkamah berpihak kepada pihak yang mencabar peraturan tersebut.
Sedangkan katanya judi bukan sahaja diharamkan dalam Islam, malah agama-agama lain juga menegah perbuatan tersebut kerana ia boleh mengundang gejala negetif terhadap keluarga.
“Apabila kita rujuk kepada kawan-kawan kita daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS, mereka menjelaskan masyarakat bukan Islam juga tidak suka aktiviti judi.
“Berjudi merupakan budaya yang boleh merosakkan keluarga dan memecah belah keharmonian rumah tangga kerana boleh mengikis kewangan dan menjadikan seseorang sering berhutang,” tambahnya.
Afnan juga berkata, Kelantan mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah perjuangan PAS apabila ditadbir PAS lebih tiga dekad dengan mempertahankan prinsip Islam dan keharmonian masyarakat.
Katanya pengalaman di Kelantan menunjukkan Islam mampu menjadi asas kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum.
Sementara itu Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, haluan politik anak-anak muda sekarang bukan lagi mengikut jejak keluarga mereka.
Katanya, mereka tidak lagi berpegang kepada parti politik tertentu, sebaliknya mahu pemimpin yang dipilih mampu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
Beliau turut mendedah terdapat laporan menyatakan 62 peratus pelajar yang ada potensi belajar di institusi pengajian tinggi tidak menyambung pengajian sebaliknya lebih selesa bekerja yang boleh memberi pulangan segera.
“Situasi itu bahaya bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang lebih berkeliber bagi memimpin ummah,” tambahnya.


0 Comments