300 hari lagi nasib negara ditentu pengundi

KOTA BHARU: Tidak sampai 300 hari lagi rakyat negara ini akan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Mohd Sanusi Md Nor.

Oleh itu katanya petugas pilihan raya PAS hendaklah memperkemaskan jentera dan teruskan bekerja menghadapi PRU16.

Manakala bagi kawasan yang menang pada PRU lepas hendaklah terus bekerja dengan menyantuni orang ramai secara berterusan.

“Kita kena buktikan PAS mampu memerintah dan boleh memikul tanggungjawab dengan baik. Jadi dalam tempoh 300 hari pengundi akan tentukan nasib negara kita,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Muktamar PAS kali ke-72 di PUTIK hari ini.

Beliau juga berkata, rakyat negara ini menghadapi musim pilihan raya yang panjang bermula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2025 kemudian diikuti PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Dan selepas ini PRN Melaka pula akan menyusul dan ia akan menjadi cabaran kepada semua petugas pilihan raya PAS.

“Bermula PRN di Sabah akhirnya kita berjaya meraih kemenangan sulung di sebuah kerusi DUN. Begitu juga kita berharap PAS boleh berkembang di Johor walaupun tidak menang kerusi PRN Julai lepas.

“Namun kita dapat meningkat pengaruh PAS di Johor. Dan PRN Melaka dijangka lebih ampuh sebagai persediaan bagi menghadapi PRU16. Jadi kita jangan banyak rasa kerdil terhadap orang lain yang baru datang menumpang,” ujarnya.  

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat akan tentukan kerusi-kerusi mana yang boleh dimenangi oleh PAS dan memastikan ia tidak terlepas kepada pihak lain.

Menurutnya, petugas PAS akan dipertingkat pengetahuan mengenai gerak kerja pilihan raya melalui kursus-kursus yang dijalankan di Institut Latihan PAS (ILPAS).

Beliau juga berkata, PAS dan PN berdepan kekangan melaksanakan kerjasama politik pada PRN di Johor, namun terungkai sedikit ketika menghadapi PRN Negeri Sembilan.

“Di Melaka kita hendaklah bersedia bekerjasama dengan jentera-jentera  parti lain dan kena belajar untuk bekerja dengan mereka,” ujarnya.


 

 

 

Post a Comment

0 Comments