Kementerian perlu nilai dasar lesen perjudian

 
KOTA BHARU: Langkah kerajaan Kedah mengelakkan rakyat terbabit dengan aktiviti perjudian terhalang ekoran keputusan mahkamah, turut menarik perhatian di Muktamar PAS di PUTIK hari ini.

Isu terbabit terkandung dalam usul yang diterima tanpa bahas pada sidang muktamar pada hari terakhir.

Usul terbabit dibawa PAS Baling sebagai usaha memperkukuh kuasa kerajaan negeri membendung aktiviti perjudian dan mendesak kerajaan persekutuan menghentikan pemberian lesen judi.

Sebelum ini kerajaan Kedah mengambil pendekatan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan tuntutan Islam serta membendung kesan sosial dan moral akibat perjudian.

Bagaimanapun dasar tersebut dicabar melalui proses kehakiman. Dan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun 2024 membenarkan semakan kehakiman.

Kemudian diikuti keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Disember 2025 yang secara majoriti 2-1 menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah.

Dan pada 12 Ogos 2026, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran Kerajaan Kedah untuk merayu, menyebabkan keputusan Mahkamah Rayuan kekal.

Perkembangan yang berlaku itu menunjukkan keterbatasan ruang Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil pendekatan lebih tegas terhadap premis perjudian.

Sehubungan itu Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 mengambil ketetapan dan menggesa supaya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian, termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu.

PAS Baling juga menyarankan kerajaan Kedah khususnya negeri-negeri SG4, memperkemaskan undang-undang sedia ada, dasar PBT dan mekanisme pentadbiran berdasarkan nasihat perundangan bagi membolehkan tindakan membendung aktiviti perjudian dilaksanakan dengan asas undang-undang yang kukuh.

“Ahli-ahli Parlimen PAS perlu membawa perkara ini ke Dewan Rakyat bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang Persekutuan berkaitan supaya kerajaan negeri diberi ruang yang lebih jelas dan sah untuk menentukan dasar yang lebih ketat terhadap operasi premis perjudian,” kata usul tersebut.

Selain itu dua lagi usul diterima tanpa dibahas iaitu pemerkasaan Ameerah sebagai sayap penting dibentang PAS Parit.

Manakala PAS Bangi dan PAS Batu pula mendesak kerajaan mengambil langkah menyeluruh menanganu kenaikan kos sara hidup.

Post a Comment

0 Comments