Stok makanan terjejas akibat banjir di Bangkok

 

BANGKOK: Keadaan banjir di Kota Metropolitan Bangkok masih membimbangkan selepas hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas menyebabkan banyak kawasan dinaiki air.

Min Buri antara kawasan yang paling terjejas akibat banjir. Kewujudan banyak saliran di Kota Bangkok turut mengundang limpahan air di segenap kawasan.

Malah Pihak Berkuasa Bangkok dilapor mengisytiharkan 50 daerah di kota tersebut terjejas bencana banjir.

Hari ini paras banjir masih menunjukkan trend meningkat sehingga menyebabkan pengangkutan awam lumpuh di beberapa lokasi yang terjejas.

Media tempatan melapor beberapa lokasi di Bangkok mulai dinaiki banjir pada pagi Jumaat termasuk di Chatuchak Market. Dan menjelang petang Jumaat paras air terus meningkat.

Pagi semalam beberapa jalan utama terjejas termasuk Lat Phrao, Bang Kapi, Bang Na, Lat Krabang dan beberapa kawasan lain.

Pihak berkuasa Bangkok mengarahkan pengguna jalan raya mengelakkan 31 laluan yang masih berisiko memandangkan paras banjir lebih tinggi.

Paras air di Jalan Vibhavadi Rangsit menghampiri 1 meter menyebabkan lalu lintas terganggu teruk.

Pihak berkuasa Bangkok melakukan pelbagai usaha untuk mengurangkan paras air banjir termasuk menggunakan pam air.

Banyak kenderaan kelihatan tenggelam di lokasi parkir. Ada juga pemilik kenderaan memindahkan kenderaan ke parkir bertingkat yang disediakan secara percuma.

Media juga melaporkan ada hospital dimasuki air sehingga ke dalam wad menyebabkan petugas terpaksa memindahkan pesakit ke lokasi lebih tinggi.

Sistem pengangkutan transit aliran ringan di Red Line Bangkok turut ditutup seketika di beberapa laluan disebabkan tiada bekalan elektrik.

Ramai penduduk yang terkandas akibat banjir terpaksa mengharungi arus banjir untuk pulang ke rumah.

Kedai runcit termasuk 7 Eleven menjadi tumpuan orang ramai bagi mendapat bekalan makanan sehingga ada kedai yang kehabisan stok makanan.

Media juga melaporkan Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berharap penduduk yang terjejas banjir daerah timur Bangkok berhati-hati kerana kebanyakan terusan dipenuhi air.

Menurutnya air memenuhi Terusan Lat Phrao, Terusan Prawet Burirom, Terusan Prem Prachakorn dan Terusan Saen Saep.

Di Daerah Lat Krabang dilanda banjir teruk melibatkan lebih 30,000 mangsa.  Kawasan lain yang turut terjejas Ramkhamhaeng dan Bang Kapi.

Banjir didapati serius berlaku di timur Bangkok sehingga memaksa pihak berkuasa berusaha mempercepatkan proses penyaliran air.

Pihak berkuasa Bangkok mengisytihar bencana banjir di seluruh Bangkok dan memberi kuasa khas kepada organisasi tempatan untuk mengambil tindakan segera.

Bantu mangsa banjir

Pemimpin dan sukarelawan People Party (Prakchchun Party) bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas dengan menghantar ke rumah penduduk.

Mereka mengagihkan makanan kepada mangsa-mangsa banjir menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan perahu. Pada pilihan raya umum lepas parti itu memenangi 40 kerusi di kawasan parlimen Bangkok.

Aktivis NGO Muslim di Bangkok Che Norddin Che Husin memberitahu kawasan rumahnya terjejas teruk akibat banjir.

“Kami terpaksa memindahkan barang ke tingkat atas bagi mengelakkan ditenggelami banjir,” katanya yang tinggal di pinggir Kota Bangkok.

Menurutnya air dijangka meningkat lagi disebabkan Empangan Besar Nakhon Nayok dibuka.

Sementara itu Perhimpunan Agung RISEAP ke-21 yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini di Hotel Al Meroz, Bangkok terpaksa ditangguh.

Che Norddin yang juga ahli jawatankuasa Induk RISEAP ke-21 berkata, perhimpunan itu bakal mempertemukan pemimpin, menteri, cendekiawan, dan wakil umat Islam dari pelbagai negara di seluruh Asia Tenggara dan Pasifik.

Katanya, perhimpunan tersebut bagi memperkukuh hubungan, bertukar-tukar pandangan dan wawasan, serta meneroka peluang kerjasama baharu demi masa depan komuniti Muslim di rantau ini.

 

 

Post a Comment

0 Comments